Rabu, 30 Oktober 2019 | 3:44pm
Pelawat dan pengunjung Hospital Serdang menaiki kenderaan pengantara dari tapak letak kereta MAEPS ke hospital berkenaan. - Ihsan KKM
Pelawat dan pengunjung Hospital Serdang menaiki kenderaan pengantara dari tapak letak kereta MAEPS ke hospital berkenaan. - Ihsan KKM

Khidmat bas ulang alik atasi masalah parkir di hospital

KUALA LUMPUR: Menyediakan kemudahan tempat letak kereta tambahan, perkhidmatan bas ulang alik dan membenarkan operator e-hailing beroperasi di hospital kerajaan sekitar Lembah Klang, antara usaha Kementerian Kesihatan (KKM) menangani kekurangan tempat parkir.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min, berkata pihaknya sudah melakukan yang terbaik bagi mengatasi masalah berkenaan terutama di sekitar Selangor.

Beliau berkata, sebagai contoh di Hospital Serdang, pihaknya bekerjasama dengan Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI), menyediakan kemudahan berkenaan di tapak Taman Ekspo Agro Malaysia (MAEPS) dengan anggaran 716 lot parkir.

Katanya, memandangkan kawasan berkenaan jauh, perkhidmatan bas ulang alik diperlukan bagi melancarkan pengangkutan.

“Kemudahan sama juga disediakan di Pusat Jantung hospital berkenaan yang sedang dibina turut dilengkapi lot tempat letak kenderaan bertingkat.

KETUA Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
KETUA Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

“Selain itu, di Hospital Sungai Buloh kementerian turut menyediakan kemudahan sama di hadapan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN),” katanya dalam kenyataan kepada BH, semalam.

Kerjasama swasta

Dr Chen berkata, manakala di Hospital Selayang pula, pihaknya bekerjasama dengan swasta mengadakan perkhidmatan valet yang mampu menyediakan parkir untuk 150 kenderaan sehari.

“Pada masa sama menyediakan perkhidmatan van ulang alik dari Kompleks Selayang Capitol dan Selayang Mall yang mempunyai kemudahan berkenaan berjumlah 1,198 lot,” katanya.

Pada 18 Oktober lalu, ruangan komentar Berita Harian menyiarkan artikel bertajuk “Masalah Parkir di Hospital Semakin Kritikal” apabila orang ramai mengeluh gagal meletakkan kenderaan ketika mendapatkan rawatan.

Keratan akhbar BH pada 18 Oktober lalu.
Keratan akhbar BH pada 18 Oktober lalu.

Dr Chen berkata, membenarkan pemandu persendirian atau e-hailing beroperasi di hospital kini pula, tertakluk menurunkan penumpang di zon menurunkan penumpang Hospital Sungai Buloh iaitu berhampiran kafeteria dan balai pelawat.

“Keadaan itu dibenarkan sekiranya pemandu menghantar penumpang dalam kalangan warga emas, pesakit, kanak-kanak dan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Pada masa sama, juga disediakan kemudahan pengangkutan awam lain seperti teksi dan bas perantara dari stesen MRT dari stesen KTM Komuter Sungai Buloh yang boleh dinaiki pesakit mahupun pelawat,” katanya.

Mengulas kesesakan di Hospital Kajang pula, beliau berkata pada 2016, kerajaan meluluskan cadangan menaik taraf melalui pembinaan Kompleks Wanita dan Kanak-Kanak, terletak kira-kira 800 meter dari tapak hospital sedia ada.

“Projek ini dalam peringkat pelaksanaan dan sebahagian proses pembangunan semula Hospital Kajang. Kejayaan Pelan Pembangunan Semula Hospital Kajang mengikut fasa dijangka mengatasi kekangan termasuk kekurangan ruang tempat letak kenderaan serta mewujudkan persekitaran rawatan lebih selesa,” katanya.

Berita Harian X