Rabu, 30 Oktober 2019 | 3:15pm
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Warta kompaun hukum syarikat jual produk kosmetik 'beracun' - Dzulkefly

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mewartakan hukuman kompaun kepada syarikat pengeluar produk kosmetik yang mengandungi bahan terlarang seperti merkuri dan hidrokuinon.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pewartaan hukuman itu akan dilaksanakan sekitar suku pertama tahun depan, bagi mengatasi isu membabitkan produk kosmetik.

Langkah itu juga, katanya, bagi menghukum sesetengah pengusaha kosmetik yang menggunakan taktik mengeluarkan produk baharu dengan sedikit perubahan campuran formula, selepas produk lama mereka dilarang dijual di pasaran oleh pihak berkuasa.

“Antara yang sedang kami pertimbangkan adalah mewartakan tindakan kompaun kepada syarikat mengeluarkan produk kosmetik mengandungi bahan terlarang dan menyiarkan iklan kosmetik yang tidak mematuhi garis panduan.

“Kompaun juga akan dikenakan kepada syarikat kosmetik yang memasarkan produk tidak patuh pelabelan, selain membuat pengisytiharan palsu ketika mengemukakan notifikasi kosmetik.

“Hukuman lain termasuk menyenarai hitam jenama produk kosmetik tertentu supaya produk itu tidak dijual, sama ada di pasaran atau secara dalam talian serta tidak mengulangi kesalahan.

“Pengilang produk kosmetik juga akan diwajibkan memiliki lesen pengilangan berdasarkan amalan pengilangan terbaik (GMP),” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan eksklusif BH Isnin lalu, mengenai taktik kotor sesetengah pengusaha kosmetik yang mengitar semula produk mereka dengan jenama baharu, selepas produk asal dikenakan larangan kerana mengandungi bahan terlarang termasuk racun berjadual seperti hydroquinone, merkuri dan tretinoin.

Berdasarkan maklumat di laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), sesetengah jenama kosmetik dikesan memiliki produk baharu setiap tahun selepas notifikasi NPRA terhadap produk terdahulu dibatalkan kerana isu campuran palsu atau mengandungi racun berjadual.

Menerusi taktik ‘kitar semula’, produk seperti krim pemutih kulit yang dijual dengan nama Day Cream, Night Cream, Glow Cream atau Treatment Cream yang diarah ditarik balik dari pasaran, akan dikeluarkan dengan nama lain.

Pengeluar atau pengusaha kosmetik biasanya menggunakan nama baharu untuk produk dengan sedikit perubahan pada kandungannya setiap kali membuat perisytiharan kepada NPRA bagi tujuan mendapatkan notifikasi baharu.

Berita Harian X