PONTIAN: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini, berjanji akan bekerja keras dalam memikul amanah diberikan parti dengan sebaiknya.
Karmaine yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tanjung Piai, berkata amanah pucuk pimpinan itu amat besar ertinya dan memerlukan pengorbanan serta usaha berterusan.
“Insya-Allah, saya berjanji akan bekerja keras menjalankan amanah diberikan sebaik mungkin sejajar kepercayaan dan arahan parti.
“Selain lima fokus utama digariskan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi menghadapi PRK Parlimen Tanjung Piai, saya juga mempunyai fokus utama untuk pengundi.
“Ia merangkumi pertanian, perikanan serta pelancongan, ekonomi kreatif termasuk perniagaan dalam talian dan industri kecil dan sederhana (IKS) bagi meningkatkan pendapatan penduduk Tanjung Piai, ” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis pengumuman calon PH bagi PRK Tanjung Piai di sini, hari ini.