Sabtu, 26 Oktober 2019 | 4:23pm
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Samsuddin Bardan. - NSTP/Azhar Ramli
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Samsuddin Bardan. - NSTP/Azhar Ramli

Majikan tamak punca utamakan pekerja haram

KUALA LUMPUR: Sikap tamak majikan mengambil pekerja asing tanpa permit sah, punca hampir semua sektor pekerjaan di negara sudah dimonopoli warga asing.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Samsuddin Bardan, berkata situasi ini bukan sahaja berlaku di Cameron Highlands, malah lain-lain tempat kerana ramai majikan mahu mengambil jalan mudah untuk tidak membelanjakan kos yang banyak bagi menggajikan pekerja asing sah.

Katanya, prosedur pengambilan pekerja asing sah adalah sangat ketat kerana majikan perlu menunjukkan mereka menggajikan pekerja tempatan terlebih dahulu dan hanya dibenarkan mengambil pekerja asing mengikut kuota tertentu.

“Majikan juga perlu membelanjakan kos keseluruhan yang banyak, contohnya mencecah RM20,000 bagi pengambilan seorang pekerja dari Indonesia dan hampir RM30,000 bagi pengambilan seorang pekerja dari Bangladesh.

“Kos yang banyak ini bukan sahaja membabitkan prosedur mendapatkan permit kerja sah dalam negara tetapi juga kos yang mahal dikenakan oleh ejen pekerja asing di negara asal pekerja berkenaan.

“Situasi itu menyebabkan, kebanyakan majikan mengambil jalan mudah menggajikan pekerja asing secara haram,” katanya kepada Berita Harian (BH) hari ini.

Akhbar BH hari ini, mendedahkan upah warga asing yang lebih murah menyebabkan sebahagian besar majikan sekitar Cameron Highlands membuka lebih banyak peluang kepada warga asing berbanding rakyat tempatan.

Amalan itu membuatkan hampir semua sektor pekerjaan sekitar kawasan tanah tinggi ini kini dimonopoli warga asing, sekaligus menutup peluang pekerjaan rakyat tempatan, khususnya penduduk setempat.

Kelompok itu dikesan semakin rancak menguasai sektor kuari, tapak binaan, perniagaan, pembersihan, perhotelan, perladangan dan logistik.

Dalam pada itu, Samsuddin berkata, tidak timbul isu warga asing merampas peluang kerja rakyat tempatan, sebaliknya majikan yang mengambil jalan mudah melanggar prosedur ditetapkan semata-mata mahu menjimatkan kos operasi.

Tambahan pula katanya, pekerja asing haram sanggup menerima upah yang murah dan majikan hanya perlu menyediakan tempat tinggal dan makanan sahaja.

“Saya difahamkan ada majikan yang sengaja tidak mengiklankan kekosongan jawatan kerana sudah ada bekalan pekerja asing yang menanti untuk dipanggil.

“Orang ramai yang mengetahui maklumat ini dinasihatkan membuat aduan ke Pejabat Tenaga Kerja berhampiran kerana ia melanggar peraturan ditetapkan iaitu setiap majikan perlu mengiklankan kekosongan jawatan,” katanya.

Sementara itu, jelas beliau penguatkuasaan yang bermusim antara punca majikan semakin rancak menggajikan pekerja asing haram di merata-rata tempat.

“Penguatkuasaan bermusim dan ada pihak yang membocorkan maklumat menyebabkan setiap kali operasi warga asing sempat bolos.

“Penguatkuasaan secara berkala dan bersepadu dengan agensi serta pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai mampu mengekang situasi ini daripada terus berleluasa,” katanya.

Berita Harian X