Sabtu, 26 Oktober 2019 | 1:54pm
Mahasiswa yang terpaksa bergelut membayar kadar sewa rumah mahal, mencecah RM1,500 sebulan bagi rumah kos rendah di ibu negara sehingga memaksa mereka menetap seperti buruh asing atau menjalani kehidupan seharian ala nomad. - Foto BH
Mahasiswa yang terpaksa bergelut membayar kadar sewa rumah mahal, mencecah RM1,500 sebulan bagi rumah kos rendah di ibu negara sehingga memaksa mereka menetap seperti buruh asing atau menjalani kehidupan seharian ala nomad. - Foto BH

Setiap universiti perlu ada Pusat Pelajar Luar Kampus

KUALA LUMPUR: Setiap universiti digesa mewujud atau mengaktifkan semula Pusat Pelajar Luar Kampus, bagi merekodkan segala maklumat termasuk masalah dihadapi penuntut yang menginap di luar kampus supaya bantuan dapat diberikan dengan lebih proaktif.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr Raduan Che Ros, berkata sudah tiba masanya universiti khususnya bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) mempunyai inisiatif terancang termasuk turun padang untuk melihat sendiri kehidupan penuntut di luar kampus.

Mengulas lanjut beliau berkata, pusat pelajar itu penting dalam membina data khususnya profil berkaitan penuntut golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Semua universiti perlu bersikap proaktif untuk melihat kebajikan penuntut yang kurang mampu, jangan hanya berada dalam kampus, sebaliknya keluar dengan membuat profil penuntut yang tinggal di luar.

“Mereka perlu mengambil tanggungjawab untuk tahu di mana seseorang penuntut itu duduk dan pastikan kebajikan mereka terjaga terutama kumpulan peringkat sarjana muda, ” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan BH yang mendedahkan mengenai mahasiswa yang terpaksa bergelut membayar kadar sewa rumah mahal, mencecah RM1,500 sebulan bagi rumah kos rendah di ibu negara sehingga memaksa mereka menetap seperti buruh asing atau menjalani kehidupan seharian ala nomad.

Berdasarkan tinjauan BH, flet di sekitar bandar raya disewakan pada harga antara RM1,000 hingga RM1,500, manakala deposit pula membabitkan bayaran dua tambah satu, termasuk utiliti pada kadar RM300 hingga RM500.

Pada masa sama, Raduan berkata, pembentukan karakter penuntut sebenarnya lebih dipengaruhi di luar bilik kuliah dan mereka harus dilibatkan melalui aktiviti di dalam universiti termasuk dari aspek penginapan.

Berita Harian X