Sabtu, 26 Oktober 2019 | 12:06pm
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad merasmikan Program Grand Final Karnival Sukan Parlimen Wilayah Persekutuan (SUKPAR) 2019 di Putrajaya, hari ini. - Foto ihsan Wilayahku

Kerajaan mahu elak pengambilan tanah Kampung Baru secara paksa

PUTRAJAYA: Pengambilan tanah Kampung Baru Kuala Lumpur secara paksa dengan pampasan mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960, hanya akan dipertimbangkan mengikut keadaan tertentu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata hanya ada satu keadaan yang memungkinkan langkah itu dibuat demi keadilan pemilik tanah lain, sekiranya wujud situasi pemilik enggan bekerjasama menjual lot mereka, sedangkan penama lain sudah menyatakan persetujuan.

“Insya Allah kita tak nak ambillah (secara paksa). Hanya satu keadaan saja yang memungkinkan (diambil secara paksa) iaitu katakanlah dalam satu-satu lot itu ada 10 penama, dan tujuh daripadanya sudah bersetuju tetapi tiga lagi tidak bersetuju.

“Dalam keadaan itu, ketujuh-tujuh penama sudah memujuk dan mengatakan ia adalah hak mereka untuk mendapat duit itu, tetapi terhalang disebabkan tiga penama tidak bersetuju.

“Lalu, kita akan cuba pujuk juga lagi tetapi akhirnya kalau masih tidak dapat pujuk, kita kena tengoklah daripada sudut keadilan orang yang dah ada hak dia (penama yang sudah bersetuju).

Lagipun yang duduk di Kampung Baru bukan semuanya senang mungkin dia (penama) perlukan duit tu untuk hantar anak belajar luar negara dan sebagainya.

“Jadi pada ketika itu mungkin kita akan terpaksa pertimbangkan (pengambilan secara paksa mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960), tetapi seboleh-bolehnya, kita mahu supaya orang Kampung Baru bersatu hati bersama membangunkan kawasan itu,” katanya selepas merasmikan Program Grand Final Karnival Sukan Parlimen Wilayah Persekutuan (SUKPAR) 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas langkah terakhir Kementerian Wilayah Persekutuan sekiranya ada pemilik yang masih tidak bersetuju dengan tawaran baharu kepada penduduk Kampung Baru yang dibuat kerajaan sebelum ini.

Bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor, Datuk Salleh Buang dalam komentarnya di akhbar Berita Harian (BH) hari ini, berkata hanya dua kemungkinan boleh berlaku sekiranya sekadar 60 hingga 70 peratus pemilik lot tanah bersetuju menerima tawaran.

Pertama adalah rancangan pembangunan semula di kawasan itu akan terhenti dan tidak dapat diteruskan, kedua ia akan diteruskan tetapi pengambilan tanah secara paksa mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 terpaksa dilakukan ke atas pemilik tanah yang enggan menerima tawaran baharu itu.

Kesan daripada pengambilan tanah secara paksa adalah bekas pemilik tanah terpaksa meninggalkan (akan diusir keluar dari) tanah asal mereka.

Kerajaan pada Khamis lalu membuat tawaran baharu kepada penduduk Kampung Baru, Kuala Lumpur untuk membeli tanah yang terbabit dalam pembangunan semula di kawasan berkenaan pada harga RM1,000 satu kaki persegi berbanding RM850 sebelum ini.

Bersandarkan harga baharu itu, RM850 secara pulangan tunai, manakala baki RM150 berbentuk pulangan dalam pegangan saham.

Khalid dilaporkan berkata, pulangan dalam bentuk pegangan saham dalam syarikat tujuan khas (SPV) yang bakal ditubuhkan kelak di mana perinciannya akan diperhalusi agensi berkaitan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan Perbadanan Kampung Baru (PKB) untuk berjumpa kira-kira 830 pemilik lot dalam skala kecil bagi membolehkan penerangan diberikan dengan lebih terperinci.

“Semua hujah dalam media sosial yang mengatakan bahawa pemilik akan hilang hak (apabila menerima tawaran baharu) adalah tidak betul,” katanya.

Terdahulu, pada Program Grand Final Karnival SUKPAR 2019, Khalid mengumumkan peruntukan RM150,000 kepada persatuan sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk penggantian serta menambah peralatan baharu bagi sukan masing-masing.

Berita Harian X