Khamis, 24 Oktober 2019 | 6:40pm
Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff, berkata graduan kejuruteraan tidak boleh bergantung kepada akademik semata-mata tanpa mempunyai kebolehan teknologi. - NSTP/Farizul Hafiz Awang
Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff, berkata graduan kejuruteraan tidak boleh bergantung kepada akademik semata-mata tanpa mempunyai kebolehan teknologi. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Jurutera perlu berkebolehan, bukan sekadar berpengetahuan

KUANTAN: Industri masa kini memerlukan jurutera yang bukan saja berpengetahuan sebaliknya berkebolehan dalam bidang yang diceburi.

Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff, berkata graduan kejuruteraan tidak boleh bergantung kepada akademik semata-mata tanpa mempunyai kebolehan teknologi.

Beliau bersetuju dengan pandangan Ahli Lembaga Jurutera Malaysia (LJM), Megat Johari Megat Mohd Noor dalam laporan BH semalam, bahawa industri di Malaysia tidak melihat kemahiran sebagai satu nilai berharga untuk dibayar, menjadi punca bidang kejuruteraan negara tidak meningkat ke tahap yang sepatutnya.

Justeru, Wan Azhar mahu graduan kejuruteraan mempunyai kebolehan untuk mempraktikkan apa yang dipelajari.

“Memang betul dengan apa yang diperkatakan. Industri sekarang tidak bergantung kepada pengetahuan, sebab itu perlunya TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional).

“Hakikatnya, itu (TVET) tidak memberi imej negatif kepada jurutera, sebaliknya meningkatkan lagi keupayaan mereka di pasaran. Bukan sekadar menjadi graduan yang berpengetahuan tetapi berkebolehan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika wawancara sempena Istiadat Konvokesyen UMP ke-14 di UMP kampus Gambang di sini, hari ini.

Wan Azhar berkata, negara perlu melahirkan jurutera yang berkebolehan dalam teknologi bagi keperluan industri semasa.

Setiap jurutera juga perlu mempunyai kebolehan yang diperlukan dalam industri masa kini bagi meletakkan mereka sebagai individu yang berkelebihan dan berkualiti.

“Jurutera tak perlu ramai kerana industri melihat kebolehan bukan pengetahuan. Dalam sistem pendidikan kita, kebolehan ini kurang bukan disebabkan oleh silibus.

“Seorang jurutera mampu belajar principles (prinsip) yang tinggi dengan pengiraan matematik, tetapi nak guna tak boleh sebab mereka tidak mempunyai kebolehan,” katanya.

Jelasnya, meskipun mempunyai fakulti kejuruteraan, UMP tidak mengenepikan bidang teknologi yang menjadi kehendak pasaran dan institusi itu mahu melahirkan jurutera yang dapat mempraktik dan menyampaikan apa yang dipelajari

Semalam, BH melaporkan kadar gaji jurutera tempatan tidak berubah sejak 20 tahun lalu, meskipun negara mencapai tahap kemajuan dan pembangunan yang membanggakan.

Difahamkan, ketika ini graduan baharu kejuruteraan hanya menerima bayaran kurang RM2,500 sebulan, bukan gaji lumayan seperti yang dipercayai masyarakat. Kadar gaji itu pula hanya ditawarkan di bandar besar, manakala kadar gaji di kawasan bukan bandar besar adalah lebih rendah.

Berita Harian X