Khamis, 24 Oktober 2019 | 6:03pm
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad (kiri) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan melihat contoh model pembangunan Kampung Baharu ketika sesi sidang media khas ‘Tawaran Baru Kerajaan Mengenai Cadangan Pembangunan Semula Kampung Baharu’ di Lobi Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad (kiri) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan melihat contoh model pembangunan Kampung Baharu ketika sesi sidang media khas ‘Tawaran Baru Kerajaan Mengenai Cadangan Pembangunan Semula Kampung Baharu’ di Lobi Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Kerajaan tak halau penduduk Kampung Baru

KUALA LUMPUR: Tawaran pakej baharu untuk membeli tanah Kampung Baru merangkumi pegangan saham dan diskaun 15 peratus membeli rumah di atas tanah kawasan itu adalah usaha kerajaan untuk memastikan penduduk terbabit kekal serta kembali tinggal di situ.

Ia sekali gus menafikan dakwaan bahawa tujuan pembeli tanah itu berniat jahat untuk mengusir penduduk Kampung Baru.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata tawaran baharu yang dikemukakan hari ini sebagai usaha pihaknya menggalakkan penduduk asal Kampung Baru tinggal dan kembali semua ke kawasan itu.

“Kita mahu galakkan orang Kampung Baru duduk dan datang balik. Segala khabar angin, tohmahan dan dakyah yang kata saya ingin halau orang Melayu keluar dari Kuala Lumpur, adalah tidak benar.

“Apa yang kita mahu, mereka datang semula dengan cara kita beri pegangan saham dan akhirnya akan jadi milik mereka. Kerajaan bayar RM1,000 (satu kaki persegi) iaitu RM850 (pulangan tunai), (baki) RM150 dalam pegangan saham mereka.

Model Cadangan Pembangunan Semula Kampung Baharu di Lobi Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
Model Cadangan Pembangunan Semula Kampung Baharu di Lobi Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

“Jadi, mereka masih memiliki tanah itu. Apabila ada saham dalam tanah, mereka boleh bersuara, beri cadangan bagaimana untuk bangunkan apa-apa yang kita (kerajaan) mahu bentangkan.

“Maksudnya, mereka boleh bersuara dan tidak hilang kawalan sepenuhnya. Apabila mereka jual habis (tanah), mereka tak boleh kata apa-apa, tetapi pegangan saham itu membolehkan mereka beri cadangan pembangunan, tak hilang syarat milik Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di lobi ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Kampung Baru (PKB), Tan Sri Ambrin Buang dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Ahmad Dahlan.

Khalid berkata, penduduk Kampung Baru yang ada saham bukan saja boleh menentukan pembangunan Taman Warisan yang akan dibina, malah apabila projek pembangunan terbabit selesai, mereka turut meraih keuntungan berdasarkan peratusan saham dimiliki.

“Sekarang, di Kampung Baru ada kira-kira 4,000 (unit) rumah. Selepas ini, apabila dimajukan, ada (kira-kira) 45,000 rumah. Jadi, jika boleh kita mahu separuh (jumlah) rumah yang kita bangunkan, penduduk asal Kampung Baru yang membelinya,” katanya

Khalid menganggarkan, RM6.7 bilion bayaran tunai akan dijelaskan kepada pemilik tanah Kampung Baru jika semua 153 hektar tanah mendapat persetujuan untuk dibangunkan.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan menyasarkan kata sepakat membangunkan Kampung Baru berupaya dicapai menjelang Jun 2020.

Berita Harian X