Rabu, 23 Oktober 2019 | 8:48pm
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Minggu Keselamatan Kenderaan 2019 dan Majlis Pelancaran Pelaksanaan Mewajibkan Kerusi Keselamatan Kanak-kanak di Makmal Ujian Perlanggaran Miros PC3, di Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Tiang Dua. NSTP/Rasul Azli Samad.
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Minggu Keselamatan Kenderaan 2019 dan Majlis Pelancaran Pelaksanaan Mewajibkan Kerusi Keselamatan Kanak-kanak di Makmal Ujian Perlanggaran Miros PC3, di Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Tiang Dua. NSTP/Rasul Azli Samad.

Penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak sangat rendah - Loke

MELAKA: Hanya satu pertiga atau kira-kira 36 peratus daripada pengguna jalan raya di negara ini yang menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam kenderaan.

Ini menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil langkah penguatkuasaan bagi penggunaan CRS untuk memastikan tahap keselamatan kanak-kanak terus menjadi keutamaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menegaskan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan terus meningkatkan kempen kesedaran berhubung penggunaan CRS dalam kenderaan di media cetak dan elektronik, papan gergasi, poster info grafik dan media sosial.

“Keutamaan langkah penguatkuasaan CRS bermula 1 Januari tahun depan adalah untuk mendidik pengguna jalan raya, bukannya menghukum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Minggu Keselamatan Kenderaan 2019 dan Majlis Pelancaran Pelaksanaan Mewajibkan Penggunaan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak di Malaysia yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Makmal Ujian Pelanggaran di Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) PC3, Tiang Dua, di sini, petang tadi.

Mengulas lanjut, Loke berkata, kerajaan masih belum menentukan bentuk mekanisme yang akan digunakan bagi penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak yang ingkar penggunaan CRS di dalam kenderaan bermula awal tahun hadapan.

“Perkara ini termasuk penetapan kenderaan, kos pembelian peralatan CRS selain pengurangan kadar cukai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Kita mengalu-alukan mana-mana pengeluar tempatan untuk menghasilkan CRS ini yang sekali gus boleh memastikan harga produk berkenaan lebih mampu milik,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai video viral di media sosial mengenai tindakan pemandu kenderaan persendirian yang dikatakan ‘menyumbat’ murid sekolah ke dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Loke berkata, pihaknya kesal dengan kejadian berkenaan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kenderaan berkenaan supaya tampil melaporkannya kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan penguatkuasaan.

“Kerajaan menerusi JPJ akan meneliti semula garis panduan kenderaan yang membawa murid sekolah kerana ia membabitkan keselamatan golongan berkenaan,” katanya.

Berita Harian X