Rabu, 23 Oktober 2019 | 12:58pm
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Tingkah laku bunuh diri meningkat, kementerian rangka pelan strategik

KUALA LUMPUR: Kajian Kementerian Kesihatan mendapati tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun menunjukkan peningkatan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata berdasarkan laporan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2017, mendapati idea bunuh diri kumpulan itu berada pada kadar 10 peratus berbanding 7.9 peratus pada 2012.

Dari segi kaum pula, katanya, antara tahun 2014 hingga 2019 sebanyak 356 kes dilaporkan, yang menyaksikan jumlah kematian ialah Cina dengan 147 kes, India (76), Melayu (47) dan kaum lain (17) manakala 69 kes lagi membabitkan warga asing.

Dr Boon Chye menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang meminta Kementerian Kesihatan menyatakan langkah mengurangkan kejadian bunuh diri di negara ini.

Menjelaskan lanjut, Dr Boon Chye berkata Kementerian Kesihatan komited melaksanakan tindakan dalam mencegah masalah mental dan mengurangkan kejadian bunuh diri.

Bagi menangani masalah itu, kementerian menyediakan perkhidmatan saringan dan rawatan bagi masalah kesihatan mental di 60 hospital kerajaan, 1,001 klinik kesihatan primer dan 25 Pusat Komuniti Kesihatan Mental (MENTARI).

“Di peringkat kebangsaan, kementerian di peringkat akhir membangunkan Pelan Tindakan Strategik Kesihatan Mental Kebangsaan yang akan dilancarkan tahun depan.

“Fokus pelan ini adalah perkongsian pintar antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan profesional dalam meningkatkan kesedaran serta kepentingan dalam mendapatkan bantuan serta rawatan bagi masalah kesihatan mental,” katanya.

Berita Harian X