Rabu, 23 Oktober 2019 | 12:28pm
TIMBALAN Menteri Pembangunan Usahawan, Dr. Mohd Hatta Md Ramli.

Hampir RM250 juta bantuan usahawan kecil TEKUN

KUALA LUMPUR: Seramai 18,724 usahawan kecil dan sederhana menikmati faedah pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional sebanyak RM248.6 juta setakat ini.

Bagi Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) pula, sebanyak RM10.81 juta pinjaman disalurkan kepada 568 usahawan India setakat bulan ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan (MED), Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli, berkata inisiatif itu antara usaha kementerian membangunkan usahawan mikro dan kecil dalam menghadapi cabaran ekonomi.

“TEKUN Nasional juga melaksanakan program pembangunan usahawan dalam bidang kemahiran khusus seperti ukiran kayu dengan pembiayaan kepada sembilan usahawan sebanyak RM285,000.

“Seramai 20 peserta turut menerima manfaat menerusi projek fertigasi pertanian di Terengganu dengan pembiayaan sebanyak RM400,000,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) mengenai usaha kementerian itu dalam merancakkan perkembangan ekonomi dalam membantu usahawan kecil dan sederhana.

Selain TEKUN Nasional, Dr Mohd Hatta berkata, Bank Rakyat turut menawarkan kemudahan pembiayaan bagi menyokong pembangunan usahawan mikro.

Antara program yang dilaksanakan adalah Modal Usahawan Kecil (MusK) dan Micro Enterprise Fund (MEF).

“Menerusi skim pembiayaan ini, seramai 7,024 usahawan menerima manfaat setakat bulan lalu dengan baki pembiayaan berjumlah RM84 juta. Ramai lagi boleh memohon pembiayaan ini.

Berita Harian X