Rabu, 23 Oktober 2019 | 12:15pm
MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini. - Foto Rosela Ismail

'Kertas Putih Pertahanan bukan karangan biasa'

KUALA LUMPUR: Pembentangan Kertas Putih Pertahanan (KPP) mengambil masa kerana ia perlu melalui proses tertentu sebelum boleh dikeluarkan kepada umum.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata semua pihak perlu bersabar menanti hala tuju baharu pertahanan negara yang akan digariskan dalam kertas putih berkenaan.

“Sesi ini akan dibentangkan. Sesi ini. Sabarlah. Kertas putih bukan macam karangan biasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) di Dewan Rakyat semalam, yang menggesa KPP segera dibentangkan bagi memastikan hala tuju jelas dalam sektor pertahanan negara.

Bekas Menteri Pertahanan itu mendakwa pembentangan KPP sudah ditangguhkan beberapa kali, sambil menegaskan ‘pengganas tidak menunggu kertas putih dibentangkan’.

Bagaimanapun, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) menegaskan, pembentangan KPP tidak pernah ditangguhkan seperti didakwa Hishammuddin, sebaliknya memang dijadualkan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang kali ini.

“Tidak (ditangguhkan), maklumat dia kena betul. Memang akan dibentangkan penggal ini,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Ronnie Liu, bahawa Pakatan Harapan (PH) akan tetap berjaya tanpa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Mohamad berkata, ia adalah pandangan peribadi.

“Sebaran penyelesaian dibuat dalam (Majlis Presiden) PH. Sesiapa pun boleh keluarkan pendapat individu. PH akan tentukan hala tuju,” katanya.

Berita Harian X