Rabu, 23 Oktober 2019 | 12:08pm

Pinjaman PPW secara digital dikaji

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang merangka prosedur operasi standard (SOP) dan mengkaji pindaan akta berkaitan bagi membolehkan pinjaman wang oleh syarikat pemberi pinjam wang (PPW) dilakukan secara atas talian.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata pihaknya ada menerima beberapa permohonan daripada PPW atau kini dikenali sebagai Kredit Komuniti untuk menjalankan operasi pinjaman wang melalui kaedah digital.

“Setakat ini, masih belum ada permohonan itu yang diluluskan. Kita masih di peringkat penggubalan SOP atau pindaan akta yang membolehkan pinjaman wang secara digital berbanding konvensional dijalankan.

“Kita lihat perkara ini secara positif kerana memudahkan transaksi antara peminjam dan pemberi pinjaman wang,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang bertanya sama ada KPKT bercadang untuk menggubal akta bagi memastikan penipuan oleh PPW secara atas talian tidak berlaku, selain menjalankan pemantauan ke atas kegiatan itu.

Zuraida berkata, kementeriannya juga akan memperketatkan kawalan antara PPW dan peminjam, selain sedang menggubal Akta Kredit Pengguna bagi memberi lebih perlindungan kepada peminjam wang supaya tidak dianiaya.

Menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai sama ada kementerian akan menggubal Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 untuk mengenakan hukuman penjara mandatori dan penyitaan/pelucutan hak semua harta alih dan tidak alih milikan pesalah dan keluarganya, berikutan operasi sindiket ceti haram atau ‘ah long’ ganas dan berbahaya semakin meningkat setiap hari dan ramai menjadi mangsa sindiket, Zuraida berkata kes ‘ah long’ adalah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun katanya, jika ada Kredit Komuniti yang tidak mengikut peraturan, mereka akan dikenakan kompaun RM5,000 bagi setiap kesalahan.

Katanya, dari 2017 hingga 2019, sebanyak 1,416 aduan membabitkan Kredit Komuniti direkodkan, yang mana 469 kes membabitkan pertuduhan di mahkamah, 291 kes dikenakan kompaun dan 299 kes tiada tindakan lanjut.

“Bagaimanapun, kes ini lebih kepada kesalahan pentadbiran seperti tidak menghantar rekod, tiada dokumen dan sebagainya,” katanya.

Berita Harian X