Rabu, 23 Oktober 2019 | 11:34am
NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Isu nasional bakal dominasi kempen PRK Tanjung Piai

KUALA LUMPUR: Isu nasional dijangka mendominasi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor yang bermula 2 November ini.

Walaupun isu tempatan diberi keutamaan oleh parti yang bertanding dalam usaha meraih sokongan, PRK kesembilan sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu bakal dibayangi pelbagai isu nasional.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pemeteraian Piagam Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS antara tiga isu nasional yang bakal dibangkitkan sepanjang kempen PRK Tanjung Piai.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, ia menjadi medan ujian penting dalam mengukur sejauh mana penerimaan masyarakat terhadap formula politik baharu antara dua parti pembangkang.

“Rakyat khususnya pengundi akan menggunakan PRK Tanjung Piai untuk menterjemahkan sokongan kepada parti yang lebih baik.

“PRK Tanjung Piai juga berkisar mengenai masa depan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, turut berpendapat isu nasional akan menjadi fokus dan keutamaan dalam kempen PRK Tanjung Piai.

Beliau mendakwa PRK itu membuka peluang kepada rakyat untuk meluahkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan yang didakwa gagal menunaikan janji.

PRK Tanjung Piai bakal menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru apabila GERAKAN mengesahkan penyertaan mereka sebagai blok ketiga.

Sehingga kini, semua parti termasuk BERSATU, Barisan Nasional (BN) dan GERAKAN belum mengumumkan calon masing-masing menjelang penamaan calon 2 November ini.

BERSATU dijangka mengumumkan calon pada 30 Oktober, manakala BN akan berbuat demikian selepas mesyuarat Dewan Tertinggi yang akan diadakan hujung bulan ini.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari BERSATU pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Berita Harian X