Rabu, 23 Oktober 2019 | 11:27am

UPM anjur wacana kupas isu keganasan, ancaman keselamatan negara

KUALA LUMPUR: Isu ancaman keganasan yang semakin kompleks antara topik bakal dibincangkan dalam Wacana Intelektual - Keganasan dan Ancaman Keselamatan Negara: Bersediakah Kita? di Dewan - di Dewan Seminar Al-Farabi, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang esok.

Bermula jam 9.30 pagi esok, program itu yang dipengerusikan Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain membariskan ahli panel seperti Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Azharudin Mohamed Dali (Universiti Malaya), Dr Ahmad El-Muhammady (UIAM) dan Prof Madya Dr Amini Amir Abdullah (UPM).

Pemilihan topik perbincangan kali ini turut mempunyai kaitan dengan sejarah negara yang pernah dilanda ancaman komunis sehingga memaksa kerajaan mengisytiharkan darurat, namun akhirnya keamanan berjaya diperolehi.

“Pembangunan dan kejayaan Malaysia selama ini banyak dipengaruhi faktor keamanan dan keselamatan negara. Biarpun pernah dilanda ancaman komunis sehingga perlu mengisytiharkan tempoh darurat (1948-1960), rakyat hidup aman demi kesejahteraan dan kelangsungan keselamatan negara,” kata penganjur dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Justeru, katanya, negara ini tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk aktiviti keganasan atau terrorisme yang boleh memberi ancaman kepada aspek keselamatan negara mahupun global.

“Ini boleh dilihat seperti usaha memerangi aktiviti rakyat Malaysia menyertai kumpulan militan Daish di Syria dan terbaharu, sokongan untuk menghidupkan semula kumpulan pengganas LTTE.

“Namun, usaha menangani keganasan termasuk mengawal, mencegah dan memulihkan kelompok ekstrem dan radikal tidak boleh diserahkan kepada pihak kerajaan dan berkuasa semata-mata, sebaliknya semua entiti dalam masyarakat perlu memainkan peranan sewajarnya,” katanya.

Sepanjang program itu berlangsung, topik keganasan yang dibincangkan dijangka turut menyentuh beberapa tragedi besar di peringkat global, terutama insiden pengeboman Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001.

“Malaysia antara negara yang paling ke hadapan memerangi keganasan dengan menawarkan pendekatan sederhana tetapi tegas dalam mencegah kumpulan ekstrem dan radikal. Selain pendidikan dan advokasi awam, faktor undang-undang juga penting dalam menangani keganasan,” katanya.

Katanya, selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan pada 2012, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) diperkenalkan bagi menggantikan ISA.

“Walaupun akta itu dikritik segelintir pihak kerana didakwa bercanggah dengan hak asasi, namun pelaksanaan undang-undang ini masih relevan dalam mencegah keganasan.

“Persoalannya, melihat kepada ancaman keganasan yang semakin kompleks dan hubungan entiti di peringkat antarabangsa, bersediakah kitasama ada kerajaan, pihak berkuasa, perundangan dan masyarakat bersama-sama menangani dan mencegah keganasan,” katanya.

Berita Harian X