Rabu, 23 Oktober 2019 | 10:43am
MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Kementerian Pertahanan tumpu usaha baik pulih RKAT

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM150 juta diperuntukkan Kementerian Pertahanan bagi membaik pulih 6,000 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di seluruh negara tahun depan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata kerajaan komited dalam memastikan RKAT sedia ada akan dipulihkan dan dapat didiami dengan selesa oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, Kementerian Pertahanan ketika ini memberi tumpuan kepada aspek penyelenggaraan seiring dengan kerajaan melalui budaya Memperbaiki, Mengganti dan Memulihkan (3R).

“Ini susulan satu projek perintis dikendalikan oleh Kementerian Pertahanan tahun ini, yang mana sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi proses penyelenggaraan 1,947 unit RKAT di seluruh negara. Hampir kesemua projek pembaikan ini dijangka siap sebelum hujung tahun ini.

“Fokus kepada penyelenggaraan serta pemulihan RKAT jelas diperlukan berdasarkan penemuan Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Mohamad berkata, kelemahan dalam aspek perancangan dan pengurusan penyelenggaraan, selain kegagalan pentadbiran terdahulu mematuhi prosedur menyebabkan banyak unit RKAT mengalami kerosakan serta terbiar.

“Daripada 54,497 unit RKAT dalam pegangan, didapati 12,261 unit (22.5 peratus) adalah tidak selamat untuk diduduki kerana terlalu uzur.

“Dari 2016 hingga 2018, hanya 2,447 unit tersebut telah diluluskan untuk kerja-kerja pembaikan, jauh lebih rendah berbanding 8,724 unit yang dirancang pada asalnya,” katanya.

Beliau berkata, daripada 26,487 aduan yang dibuat berkenaan penyelenggaraan dari tahun 2015 hingga 2018, hanya 17,014 aduan (64.2 peratus) yang dapat diselesaikan.

Mohamad berkata perkara ini berlaku akibat kecuaian pentadbiran sebelum ini yang tidak peka terhadap keperluan sebenar ATM.

“Kementerian Pertahanan mengambil maklum syor lain laporan itu untuk menyediakan pelan penyelenggaraan pencegahan, terutama pembaikan pam air, garis panduan berkenaan penyelenggaraan lif, menambah baik proses penyediaan kontrak dan memastikan pematuhan kepada peraturan dalaman.

“Ini bagi memastikan peruntukan tidak disalahgunakan. Semua syor ini akan dipertimbangkan untuk pelaksanaan bagi memastikan perkhidmatan yang terbaik diberikan kepada anggota ATM,” katanya.

Mohamad berkata, keadaan unit RKAT antara elemen terpenting dalam menjamin kesejahteraan anggota ATM dan keluarga mereka.

Katanya, unit RKAT yang selesa secara langsung akan meningkatkan semangat anggota ATM yang banyak berkorban ketika menjalankan operasi sepanjang tahun.

“Dengan adanya RKAT yang dijaga baik, anggota ATM tidak perlu bimbangkan keadaan keluarga mereka ketika bertugas. Keselesaan dan keamanan yang dinikmati oleh rakyat hanya tercapai melalui titik peluh dan darah anggota ATM,” katanya.

Mohamad berkata, sewajarnya anggota ATM dan keluarga mereka turut dapat menikmati keselesaan ini dan kementeriannya sentiasa bersedia untuk memastikan setiap anggota ATM yang berkeluarga menduduki unit RKAT yang terbaik. – BERNAMA

Berita Harian X