Rabu, 23 Oktober 2019 | 10:12am

Kisah Kumar angkat nilai kasih sayang, kebersamaan

KUALA LUMPUR: PETRONAS meneruskan tradisinya memeriahkan sambutan perayaan di Malaysia dengan menghasilkan iklan berbentuk filem web sempena sambutan Deepavali tahun ini.

Berjudul Thanggam, filem berdurasi lima minit 38 saat itu mengangkat tema Anugerah Kita menampilkan kisah menyentuh hati seorang cucu dan neneknya.

Kisahnya berkisar mengenai Kumar, kanak-kanak lelaki melakonkan watak seorang cucu yang 'dipaksa' ibunya untuk tinggal bersama nenek sebelah ayahnya di kampung bagi menghabiskan musim cuti sekolah.

Dia tidak fasih berbahasa Tamil, menjadikannya sukar untuk memahami setiap pertuturan dan komunikasi neneknya, termasuk ketika neneknya berbual dengan orang lain.

Sehinggalah tiba satu kejadian dimana neneknya sedang menolong seorang wanita hamil yang sedang menghadapi masalah dengan pasangannya, mengubah pendirian dan persepsi Kumar terhadapnya.

Dia begitu tersentuh melihat cara neneknya menenangkan wanita hamil berkenaan dan pasangannya.

Sejak itu, Kumar mula menyesal dengan sikapnya dan mengambil keputusan mempelajari bahasa Tamil, membuatkan neneknya terkejut.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Zahariah Abd Rahman, berkata filem web itu mendukung nilai dan semangat sempena sambutan Deepavali, iaitu menghidupkan kisah kebaikan dan kasih sayang antara remaja dan warga berusia.

Beliau berkata, kisah Thanggam yang bermaksud sayanglah, diharap menjadi inspirasi dalam menyerlahkan nilai kebersamaan dalam masyarakat yang pelbagai selain berhasrat mengukuhkan hubungan sesama rakyat dan bukan memisahkan.

"Kebersamaan sebagai rakyat Malaysia adalah satu rahmat yang menjadikan kita semua sekeluarga, tanpa mengira latar belakang.

"Filem web ini adalah kisah penerokaan identiti budaya, tradisi dan apa yang dizahirkan sebagai rakyat Malaysia," katanya sambil memaklumkan Thanggam adalah filem web keenam diterbitkan PETRONAS sempena musim perayaan tahun ini.

Filem web yang boleh disaksikan di YouTube itu adalah kesinambungan komitmen PETRONAS mempromosikan keharmonian dan perpaduan menerusi kempen perayaannya, dengan mengetengahkan kepelbagaian budaya di Malaysia serta perkongsian nilai hidup yang menyatukan serta menjadi identiti rakyat negara ini.

Filem web Thanggam sudah boleh ditonton di YouTube dan laman Facebook PETRONAS sejak kelmarin, sementara versi komersial 60 saat akan mula disiarkan di kaca televisyen dan pawagam terpilih mulai semalam sehingga 6 November depan.

FILEM web berjudul Thanggam menampilkan kisah menyentuh hati seorang cucu dan neneknya.
Berita Harian X