Rabu, 23 Oktober 2019 | 9:23am
KENYATAAN Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di laman Facebook beliau.

Tiada kompromi cubaan perguna sekolah sebagai alat propaganda

PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sekali lagi menegaskan komik propaganda politik yang didakwa diedar ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) tidak pernah mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau berkata, KPM tidak akan membenarkan pengedarannya ke sekolah di bawah kementerian dan mana-mana sekolah yang sudah menerimanya sudah diarahkan untuk tidak disebarkan.

Katanya, KPM tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mempergunakan sekolah sebagai alat propaganda murahan.

“Saya juga sudah mengarahkan KPM untuk menyiasat segera jika terdapat mana-mana individu termasuk anggota dalaman yang bertanggungjawab membenarkan komik ini diedarkan di sekolah.

“KPM akan memastikan siapa sahaja jika terbukti benar dakwaan ini akan diberi tindakan tegas,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook beliau hari ini.

Dr Maszlee juga menasihatkan mana-mana ahli DAP yang tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan agar kembali mematuhi semangat kedaulatan undang-undang dan juga tanggungjawab bersama.

“Saya juga ingin menggesa pimpinan DAP untuk mendisiplinkan ahli-ahli mereka agar menghormati keputusan kerajaan dan patuh terhadap perlembagaan dan undang-undang negara. Kedua perkara inilah yang membina negara kita.

“Tindakan merendah-rendahkan parti komponen lain seperti dilakukan oleh saudara Ronnie Liu ialah tindakan yang biadab dan sangat tidak berasas.

“Budaya politik murahan begini hanya akan merosakkan keadaan. Ia membawa lebih banyak perpecahan malah membantutkan agenda reformasi yang sedang kita laksanakan,” katanya.

Baru-baru ini, seramai 43 pemimpin akar umbi, termasuk beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP membantah pengumuman Dr Maszlee yang melarang pengedaran komik berkenaan di sekolah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador kemudian dilaporkan berkata, penulis komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ sudah memberi keterangan di Bukit Aman bagi membantu siasatan.

Malah, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan siasatan wajar dibuat selepas hasil laporan awal Bahagian Keselamatan Kementerian Dalam Negeri mendapati kandungan komik berkenaan mempunyai perkara tidak benar dan tindakan tegas wajar diambil.

Berita Harian X