Selasa, 22 Oktober 2019 | 11:31pm
KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menjawab soalan media selepas Majlis Anugerah Sukan Polis DiRaja Malaysia 2018 di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar , PULAPOL Kuala Lumpur. NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Atlet PDRM disaran jauhi perkara negatif, dadah - KPN

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengingatkan semua atlet-atlet sukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menjauhkan diri daripada perkara negatif yang boleh memudaratkan diri mereka sendiri.

Beliau berkata, sekiranya ada atlet PDRM yang terbabit dalam pengambilan bahan terlarang seperti dadah ketika bersaing di peringkat antarabangsa, sedikit sebanyak akan menyebabkan imej pasukan itu tercemar sebagai pelaksana penguatkuasaan undang-undang.

Katanya, setiap atlet PDRM diharap dapat menerapkan nilai integriti tinggi dan komitmen yang jitu dalam usaha melakar lebih banyak kejayaan.

"Setiap tahun dalam acara sukan sama ada di persada antarabangsa mahupun dalam negara kadangkala akan terjadi kes atlet sukan terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

"Tindakan itu bukan sahaja bakal mencemarkan diri atlet terbabit tetapi nama PDRM sendiri dan disebabkan itu saya sering mengarahkan setiap pengurus pasukan untuk memastikan disiplin atlet mereka," katanya pada majlis Malam Anugerah Sukan PDRM 2018 di sini, malam tadi.

Beliau berkata, sekiranya ada atlet PDRM yang terpalit dengan pengambilan dadah ianya adalah sesuatu yang amat memalukan.

Pada majlis itu, Sarjan Emma Firyana Saroji yang mewakili negara dalam sukan lawn bowls dinobatkan sebagai Olahragawati PDRM manakala Lans Koperal Mohd Taqiyuddin Hamid, yang turut mewakili negara dalam acara silat olahraga dinobatkan sebagai Olahragawan PDRM.

Bekas atlet olahraga negara, Asisten Superintendan Wong Tee Kui, yang turut pernah mewakili negara dalam acara baling tukul besi diumum sebagai Tokoh Sukan PDRM.

Berita Harian X