Selasa, 22 Oktober 2019 | 8:03pm

Kes kecil tugas bomba sukarelawan

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memberi latihan formal kepada lebih 14,000 anggota Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) tahun depan, bagi membolehkan mereka bertindak dalam kes berbentuk perkhidmatan kemanusiaan.

Ia membabitkan kes yang tidak membabitkan ancaman terhadap nyawa.

Serentak itu, JBPM tidak lagi menangani kes yang disifatkan sebagai kecil seperti menyelamatkan haiwan, pengendalian reptilia berbisa dan manusia atau ternakan terperangkap.

Pengarah Bahagian Latihan JBPM, Abdul Razak Muda, berkata sudah tiba masanya skop dan perkhidmatan itu diambil alih oleh PBS yang tidak pernah mendapat latihan formal.

PBS mempunyai 14,511 anggota berdaftar, berbanding 14,098 pegawai dan anggota bomba di seluruh negara.

“Kita bercadang mengoptimumkan tugas dan tanggungjawab PBS untuk bertindak balas terhadap kes perkhidmatan kemanusiaan.


Pengarah Bahagian Latihan JBPM, Abdul Razak Muda. - NSTP/Aziah Azmee

“Untuk itu, kita akan melatih PBS bagi kes tidak membabitkan ancaman nyawa bermula tahun depan, manakala modul latihan giat dirancang supaya mereka dilengkapi ilmu dan kemahiran bersesuaian,” katanya dalam temu bual bersama BH, baru-baru ini.

Cadangan itu bukan bermaksud JBPM enggan terbabit dalam menangani kes perkhidmatan kemanusiaan, sebaliknya mahu memberi tumpuan terhadap kes tidak ortodoks seiring kemajuan dan peredaran zaman.

“Kita perlu memberi tumpuan kepada ancaman yang belum pernah ditemui, seiring proses urbanisasi serta kemajuan dan teknologi yang membawa bersama risiko baharu.

“Contohnya, selain kes kebakaran hutan semakin meningkat, kita turut berdepan perubahan cuaca melampau yang membawa jerebu, kemarau dan musim tengkujuh yang sukar dijangka ancamannya.

“Ini termasuk kes nahas seiring wujudnya rangkaian jalan raya baharu, ditambah dengan infrastruktur dan teknologi seperti panel solar, kereta hibrid, kebakaran bangunan pencakar langit, perkhidmatan rel serta terowong bawah tanah.

“Itu semua memerlukan kaedah dan latihan berbeza, maka inilah fokus JBPM,” katanya.

Menjelaskan fokus PBS, beliau berkata, ia berbeza dengan pasukan bomba bantuan.

“Sebelum ini PBS didaftar di bawah ROS (Jabatan Pendaftar Pertubuhan) tetapi sekarang dengan JBPM.

“Untuk menjadi pasukan bomba bantuan, mereka perlu menghadiri 100 jam latihan tetapi PBS boleh beroperasi jika keanggotaan mencukupi dan ada tempat beroperasi,” katanya.


Modul latihan PBS giat dirancang supaya anggota dilengkapi ilmu dan kemahiran bersesuaian. - NSTP/Amir Irsyad Omar

‘Tumpuan perlu diberi terhadap aspek pentadbiran’

Walaupun latihan formal kepada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) mampu melengkapkan persediaan ahli dalam kes perkhidmatan kemanusiaan, tumpuan juga perlu diberi terhadap aspek pentadbiran pasukan sukarela itu.

Mengakui latihan formal itu sebagai cadangan baik, Pegawai Kanan PBS Hulu Langat, Rohazmi Kanafih, berkata masih banyak perkara perlu diambil kira.

Berpengalaman selama 10 tahun dalam PBS, beliau menjelaskan, pasukannya sering bertindak dalam kes perkhidmatan kemanusiaan selama ini dan ia bukan sesuatu yang asing bagi mereka.

Bagaimanapun, katanya, perlu ada prosedur jelas, lengkap dan menyeluruh sebelum cadangan mengkhususkan perkhidmatan kemanusiaan kepada PBS dilaksanakan.

“Ada baik dan buruknya. Ia perlu diperinci kerana membabitkan banyak isu seperti bagaimana bentuk operasinya memandangkan PBS bukan sepenuh masa.

“Latihan formal perlu diberi dan kita juga perlu mengambil kira aspek peralatan dan aset, termasuk isu penyelenggaraannya.

“Pengurusan pentadbiran antara PBS juga berbeza, malah pakaian seragam pun tak sama. Skop kerja dan tanggungjawab akan bertambah, maka perlu ada prosedur operasi standard (SOP) untuk PBS.

“Dari aspek positifnya, PBS dapat membantu tugas bomba dan saya melihat kejayaannya akan dicapai dalam tempoh empat hingga lima tahun kerana ia bukan mudah,” katanya.

Mengulas perkara sama, aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye, membangkitkan aspek kepentingan latihan dan perancangan rapi sebelum Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menyerahkan kes perkhidmatan kemanusiaan kepada PBS.

Cadangan itu, katanya, akan mewujudkan ruang bagi kedua-dua untuk memberi tumpuan terhadap penugasan masing-masing, selain memanfaatkan sepenuhnya keanggotaan PBS.

“Jika anggota PBS diberi latihan formal mengendalikan kes perkhidmatan kemanusiaan, ia bermakna ribuan petugas sukarela ini mampu berbakti kepada masyarakat dalam skala lebih besar.

“Sebelum ini kita lihat pasukan bomba menangani kes yang boleh dianggap kecil seperti selamatkan haiwan, alihkan pokok tumbang dan menghapuskan sarang lebah.

“Malah, kalau kunci tertinggal dalam kereta pun masyarakat kita panggil bomba.

“Sesuai sangat jika kita serahkan kes seperti ini kepada PBS supaya anggota bomba boleh beralih kepada kes besar dan kritikal,” katanya.

Berita Harian X