Selasa, 22 Oktober 2019 | 7:10pm
Gambar fail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong. - Foto Rosela Ismail
Gambar fail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong. - Foto Rosela Ismail

PH buat jadual pastikan ahli hadir Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Isu tidak cukup korum di Dewan Rakyat memaksa kerajaan mengeluarkan jadual khas dan peraturan kepada semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan ia tidak berulang seperti Khamis lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata pihaknya juga akan memantau prestasi Ahli Parlimen PH serta mencatat kehadiran mereka, sebelum laporan mengenainya diserahkan kepada setiap Ketua Whip parti komponen PH dan Perdana Menteri.

Katanya, semua peraturan dan jadual itu akan mula diedarkan kepada Ahli Parlimen bermula esok, selepas dipersetujui semua Ketua Whip parti komponen PH.

“Saya sudah berjumpa dengan Ketua Whip PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN), mereka pun beri komen dan cadangan.

“Saya juga sudah maklumkan kepada semua Ahli Parlimen berhubung peraturan kehadiran dan prestasi di dalam Dewan yang perlu dipertingkatkan.

“Jadual itu adalah antara jam 10 pagi hingga 1 tengah hari, 12 tengah hari hingga 5.30 petang, 5.30 petang hingga 8.00 malam atau selepas dari waktu itu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden Dewan Rakyat terpaksa dihentikan seketika susulan korum tidak mencukupi pada Khamis lalu.

Julai tahun lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak berpuas hati dengan kehadiran menteri dan timbalan menteri, menegur situasi Dewan Rakyat kosong, namun sehari selepas teguran itu, persidangan Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan selama 10 minit kerana tidak cukup korum.

Sekurang-kurangnya 26 Ahli Parlimen mesti berada di dalam dewan setiap kali berlangsung sesi perbahasan atau mengikut aturan mesyuarat Dewan Rakyat.

Ditanya sama ada nama Ahli Parlimen yang tidak hadir perlu dipaparkan kepada umum, Vui Keong berkata, ia terpulang kepada pertimbangan Ketua Whip setiap parti.

“Ketua Whip yang menentukan ahli mereka dalam parti. Jadi, saya rasa itu terpulang kepada Ketua Whip, sama ada mereka nak edarkan nama yang tak hadir,” katanya.

Berita Harian X