Selasa, 22 Oktober 2019 | 6:02pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (tengah) melancarkan Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan dan Ijtima di Movenpick KLIA. - Foto Luqman Hakim Zubir
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (tengah) melancarkan Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan dan Ijtima di Movenpick KLIA. - Foto Luqman Hakim Zubir

MAIWP diarah teliti, bantu siswa hidup 'sesak'

SEPANG: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) diarah meneliti isu mahasiswa berdepan kesempitan hidup dalam kawasan seliaan majlis itu dan mengambil langkah menanganinya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata isu berkenaan perlu diberi perhatian kerana ia boleh menjejaskan kualiti mahasiswa untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna.

“Keperluan mahasiswa ini kita boleh lihat dalam konteks yang pelbagai kategori (asnaf) contohnya, miskin; Ibnu Sabil iaitu putus bekalan (ibu bapa tidak mengirim duit) dan Fisabilillah yang mana konteksnya termasuk mereka yang sedang menuntut ilmu.

“Banyak kategori yang kita boleh letakkan (mengenai isu mahasiswa berdepan masalah kesempitan hidup) dan itulah hikmahnya lapan asnaf, jangan dilihat sempit tetapi luas perkiraannya mengikut definisi dan keperluan ketika ini.

“Kalau bercakap mengenai mahasiswa yang berlapar, makan satu hari sekali, bersesak dalam satu rumah flet sehingga 30 orang, sudah tentulah ini akan menjejaskan kualiti pendidikan mereka di kampus.

“Justeru, berpandukan kepada realiti semasa, pengagihan zakat itu perlu dilihat sejauh mana ia dalam kategori yang disebut sekali gus mampu membantu mengurangkan beban mereka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini selepas merasmikan Majlis Sambutan Zakat Kebangsaan 2019 dan Ijtima’ Penggerak Zakat Kebangsaan 2019.

BH dalam laporan muka depannya Ahad lalu, mendedahkan mengenai mahasiswa yang terpaksa bergelut membayar kadar sewa rumah mahal, mencecah RM1,500 sebulan bagi rumah kos rendah di ibu negara sehingga memaksa mereka menetap seperti buruh asing atau menjalani kehidupan seharian ala nomad.

Lebih membebankan, jika tiada pilihan, mereka terpaksa menyewa rumah yang mencecah RM3,000 sebulan, dengan berkongsi tinggal sehingga 20 orang.

Berdasarkan tinjauan BH, flet di sekitar bandar raya disewakan pada harga antara RM1,000 hingga RM1,500, manakala deposit pula membabitkan bayaran dua tambah satu, termasuk utiliti pada kadar RM300 hingga RM500.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (dua kiri) menyampaikan sijil dan replika cek kepada penerima Anugerah Ikon Asnaf Kebangsaan Kategori Usahawan Masliana Mohd Sabri pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan dan Ijtima di Movenpick KLIA. - Foto Luqman Hakim Zubir
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (dua kiri) menyampaikan sijil dan replika cek kepada penerima Anugerah Ikon Asnaf Kebangsaan Kategori Usahawan Masliana Mohd Sabri pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan dan Ijtima di Movenpick KLIA. - Foto Luqman Hakim Zubir

Mengulas sama ada zakat boleh digunakan untuk membina asrama kepada pelajar miskin atau boleh digunakan untuk pembayaran sewa rumah atau bangunan untuk mereka, Mujahis berkata, perkara itu dibolehkan.

“Boleh sangat, kategori (asnaf) banyak jadi mereka (mungkin) boleh termasuk dalam kategori itu. Macam disebut contoh nak bina asrama atau apa, saya rasa perlu kita lihat apa keutamaannya, kita kena kenal pasti adakah rumah atau makan.

“Persoalan bina asrama untuk mereka dapat duduk lebih selesa terpulang kepada keutamaan daripada segi kemampuan (pusat zakat berkaitan) tetapi perkara itu boleh masuk dalam pendekatan yang kita mahu selesaikan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya institusi zakat di seluruh negara perlu telus daripada segi tadbir urus kutipan dan agihan zakat seterusnya melaporkannya bagi memastikan ketelusan pengagihan dan kutipan.

“Ada negeri yang tidak laporkan tetapi itulah penyelarasan yang sedang kita usahakan,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak perlu sedar bahawa institusi zakat bukan saja berfungsi membantu asnaf tetapi ia juga berperanan sebagai sumber pembiayaan dalam pembangunan ekonomi ummah seterusnya menjadi pemangkin kepada keharmonian dan kelestarian hidup berkualiti dalam sosio ekonomi masyarakat.

Tamat..

Berita Harian X