Selasa, 22 Oktober 2019 | 2:57pm
Azmin menegaskan rakyat menyerahkan mandat kepada pentadbiran sedia ada untuk mentadbir kerajaan bagi tempoh lima tahun pada PRU-14. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Biar Dr Mahathir tadbir hingga habis penggal - Azmin

KUALA LUMPUR: Pihak yang ghairah mahu berkuasa dengan mengubah pentadbiran kerajaan lebih awal dari lima tahun, disifatkan sebagai cuba menubuhkan kerajaan menggunakan ‘pintu belakang’.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menegaskan rakyat menyerahkan mandat kepada pentadbiran sedia ada untuk mentadbir kerajaan bagi tempoh lima tahun pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Jadi kalau ada pihak yang nak mengubah pentadbiran kerajaan lebih awal daripada itu, dua tahun atau satu tahun, itulah sebenarnya kerajaan pintu belakang.

“Sepatutnya biarlah Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri sehingga selesai tempoh penggal ini kerana itu mandat diberikan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan beberapa portal berita yang turut mengaitkan namanya sebagai antara individu yang berusaha mewujudkan kerajaan baharu tanpa DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Turut dikaitkan adalah bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein disebut sebagai mengetuai kempen berkenaan tetapi beliau menafikannya.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan membayangkan akan mengambil alih tampuk pentadbiran negara daripada Dr Mahathir sekitar tahun depan, iaitu dua tahun selepas Pakatan Harapan (PH).

Anwar turut dilaporkan berkata, wujud perjanjian bertulis menyatakan beliau akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Dr Mahathir, yang dipersetujui semua parti komponen PH dan dinyatakan kepada umum sebelum PRU-14.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin menyifatkan pihak yang mengaitkannya untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang adalah kenyataan kumpulan yang terdesak dan ghairah mahu berkuasa.

Ahli Parlimen Gombak itu turut menegaskan perjanjian peralihan kuasa Perdana Menteri itu hanya satu semangat dan persefahaman tanpa ditetapkan sebarang tempoh.

“Saya cabar mana-mana individu menyatakan kepada umum bahawa ada persetujuan dalam satu tempoh terdekat (untuk peralihan kuasa). Tidak ada,” katanya.

“Jadi semua pihak dan media hentikan (isu peralihan kuasa) kerana ini menjejaskan ekonomi negara. Terlalu banyak ketidaktentuan, pelabur asing dan domestik bimbang ini berterusan.

“Saya harap kita hentikan perbincangan mengenai peralihan kuasa, tumpu bangunkan ekonomi dan membantu rakyat serta beri sokongan padu pada Dr Mahathir untuk terus memimpin kerana ini memberi jaminan kepada pelabur bahawa politik Malaysia stabil, ekonomi Malaysia beralih ke landasan yang betul dan mewujudkan pertumbuhan lebih baik, mewujudkan pekerjaan dan memberi kemakmuran kepada semua,” katanya.

Berita Harian X