Isnin, 21 Oktober 2019 | 10:01pm
AHLI Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin. NSTP/Zunnur Al Shafiq

Isu komik hangatkan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Isu komik `Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' menghangatkan Dewan Rakyat membabitkan perang mulut antara wakil pembangkang dan kerajaan.

Ia bermula apabila Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020, menunjukkan komik berkenaan yang dibawanya ke dalam sidang dan mula membaca beberapa nama pemimpin politik.

Bagaimanapun, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) memanaskan keadaan apabila meminta Bung Moktar menyebut parti diwakili nama yang disebut, yang diketahui umum dari DAP.

Bung Moktar kemudian ‘melayan’ Shamsul Anuar dengan menyebut DAP dan bertanya bagaimana parti itu tidak mengakui ada kaitan dengan penghasilan komik itu.

Tidak mahu menuduh terus, Bung Moktar berkata beliau bimbang jika DAP kagum dengan pemikiran komunis yang ditulis dalam komik itu dan kalau ia berlaku, Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta membatalkan pendaftaran parti itu.

Ini kerana katanya, selain terbabit dengan pengedaran komik berkenaan, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu disiasat atas dakwaan mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan pihak polis perlu mengemukakan kertas putih mengenai pembabitan parti berkenaan.

Keadaan itu menyebabkan beberapa wakil kerajaan antaranya Cha Kee Chin (PH-Rasah) dan RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun membantah dan minta menarik balik dakwaan berkaitan komunis dan pengganas.

Kee Chin kemudian menggunakan Peraturan Mesyuarat 36 (6) yang merujuk kepada seseorang Ahli Dewan tidak boleh melakukan sangkaan jahat dan ini menyebabkan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) menggelar Ahli Parlimen Rasah `bodoh' kerana menggunakan peraturan mesyuarat yang salah.

Ini menyebabkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, mengarahkan Noh menarik balik perkataan bodoh yang mana Noh menarik balik tetapi menggantikannya dengan ‘bahlol dan tak reti bahasa’.

Mohamad Ariff kemudian menyifatkan perkataan ‘gantian’ Noh itu lebih teruk daripada bodoh dan mengarahkannya menarik balik.

"Saya telah membuat penentuan tarik balik, tarik baliklah, apa masalahnya?," kata Mohamad Arif.

Dewan kembali tenang dan Bung Moktar meneruskan perbahasan dengan mengatakan siapa saja terbabit dengan keganasan perlu ditahan, sama ada wakil kerajaan mahupun pembangkang.

Berita Harian X