Isnin, 21 Oktober 2019 | 1:41pm

Syarat ketat penghasilan sisa radioaktif kepada Lynas

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengenakan beberapa syarat baharu lebih ketat kepada kilang memproses nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) di Gebeng, antaranya bertujuan memastikan penghasilan sisa radioaktif dihentikan pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis, berkata antara syarat ditetapkan ialah Lynas perlu mengemukakan perancangan pembinaan kemudahan ‘Cracking and Leaching’ di luar negara bagi memindahkan proses yang kini dijalankan di Gebeng.

“Kemudahan ‘Cracking and Leaching’ di luar negara hendaklah dibina dan mula beroperasi dalam tempoh empat tahun dari tarikh sah lesen.

“Selepas kemudahan ‘Cracking and Leaching’ mula beroperasi di luar negara, pemegang lesen tidak lagi dibenarkan menghasilkan residu radioaktif yang melebihi 1 Becquerel per gram di lojinya, di Gebeng,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Isnaraissah Munirah menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera), yang meminta kerajaan menyatakan mengapa membenarkan operasi loji Lynas di Kuantan dan kesannya terhadap kesihatan rakyat.

Ismail Sabri juga berkata keputusan kerajaan untuk memperbaharui lesen Lynas seperti mengakui tindakan kerajaan BN membenarkan Lynas beroperasi di negara ini bukan kesalahan.

Menjawab soalan asal Ismail, Isnaraissah Munirah berkata Lynas menghasilkan 637,581 tan sisa radioaktif 'Water Leached Purification’ (WLP) sehingga 24 September lalu, meningkat berbanding 451,564 tan pada Disember tahun lalu.

Sisa buangan terjadual bukan radioaktif Neutralisation Underflow Residue (NUF) pula berjumlah 1.08 juta tan, berbanding 1.113 juta tan pada Disember tahun lalu.

Katanya, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA) meluluskan pembaharuan lesen operasi Lynas hanya selama enam bulan di bawah langkah-langkah yang lebih ketat daripada kerajaan.

Katanya, ini untuk memastikan operasi Lynas selamat terutama dari segi pengurusan sisa buangan.

"Syarat baharu ini diputuskan susulan keputusan Kabinet berdasarkan syor dibuat oleh Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Loji Operasi Lynas Advanced Material dalam laporan pada November 2018," katanya.

Isnaraissah menegaskan kerajaan sekarang mengenakan syarat yang lebih ketat ke atas Lynas, berbanding kerajaan BN sebelum ini.

Kepada soalan tambahan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) yang bertanya jumlah penduduk terkesan dengan operasi Lynas, beliau berkata, ketika ini tiada laporan kesan buruk diterima sehingga ini.

Katanya, LPTA akan terus melakukan pemeriksaan berkala ke atas loji Lynas demi kepentingan dan keselamatan rakyat.

"Selain itu, kerajaan turut menjalankan persampelan alam sekitar sebagai langkah verifikasi," katanya.

Berita Harian X