Ahad, 20 Oktober 2019 | 8:00pm

Siswa jalani hidup ala-nomad di KL

KUALA LUMPUR: Kadar sewa rumah kos rendah di bandar raya ini yang mencecah hingga RM1,500 sebulan memaksa penuntut universiti menetap seperti buruh asing atau menjalani kehidupan seharian ala nomad.

Lebih membebankan, jika tiada pilihan, mereka terpaksa menyewa rumah teres mencecah RM3,000 sebulan, dengan berkongsi tinggal sehingga 20 orang.

Berdasarkan tinjauan BH, rumah pangsa di sekitar bandar raya disewakan pada harga paling rendah antara RM1,000 hingga mencecah RM1,500, manakala deposit pula membabitkan bayaran dua tambah satu, termasuk utiliti pada kadar RM300 hingga RM500.

Bagi mendapatkan bayaran yang murah iaitu bawah RM200 sebulan, ada penuntut khususnya daripada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) mendiami sebuah rumah dalam keadaan tidak selesa apabila terpaksa menetap secara beramai-ramai.

Setiap penuntut universiti berkongsi sekurang-kurangnya bersama tujuh rakan lain untuk satu rumah flat yang sempit iaitu hanya berkeluasan sekitar 550 kaki persegi demi memastikan bajet mencukupi untuk membayar sewa.

Penuntut jurusan Kejuruteraan Elektrikal dari sebuah universiti awam, di sini, yang hanya mahu dikenali sebagai Lukman, 22, ketika ditanya sama ada selesa menetap beramai-ramai dalam sebuah rumah sempit itu mengakui ‘terpaksa’ berdepan situasi terbabit kerana hanya itu yang termampu.

Berasal dari Kulim, Kedah, Lukman berkata, perkara yang paling sukar dialaminya apabila tinggal beramai-ramai itu adalah fokus untuk mengulang kaji pelajaran.

“Rumah pangsa di tengah bandar ini disewa pada kadar RM1,100 dengan seorang perlu memperuntukkan sekitar RM190 untuk bayaran sewa, utiliti dan internet.

“Kalau ikutkan memang nak dapat rumah yang selesa sikit dengan rakan rumah yang minimum tetapi saya tidak mampu.

“Jadi, mahu atau tidak, saya terpaksa berdepan pelbagai ragam antara kalangan kami sebab ini sahaja yang termampu dengan peruntukan kewangan diberi keluarga dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya kepada BH, di sini.


Siswa universiti awam terpaksa tinggal bersesak di rumah kecil serba kekurangan akibat daripada sewa yang mahal di ibu kota. - Foto NSTP

Penuntut jurusan Sosio Budaya Melayu dari sebuah universiti awam, di sini, yang hanya mahu dikenali sebagai Hafiz, 21, pula berkata, dia terpaksa bekerja sambilan di sebuah restoran makanan segera bagi mengumpul duit deposit untuk menyewa sebuah rumah pangsa di sekitar bandar raya ini.

Hafiz yang berasal dari Tumpat, Kelantan, mengakui peruntukan bayaran untuk rumah sewa di Kuala Lumpur ini amat membebankan kerana dia berasal dari keluarga susah.

Katanya, ayahnya sudah meninggal dunia manakala ibunya hanya bekerja di sebuah kilang keropok dengan pendapatan RM40 sehari.

Sebelum ini, katanya, dia bersama lapan rakan lain mendapat sebuah rumah flat di Pantai Dalam dengan bayaran sewa RM1,400 sebulan dan deposit RM3,150.

“Ketika nak bayar deposit memang pening kepala sebab seorang harus sediakan RM350 dan bayaran bulanan RM160, sedangkan saya hanya bergantung kepada pinjaman PTPTN untuk perbelanjaan.

“Saya enggan menyusahkan emak di kampung dan kerana itu, saya bekerja sampingan di sebuah restoran makanan segera pada Jumaat hingga Ahad dengan kadar bayaran RM10 sejam,” katanya.

Anak bongsu daripada tujuh beradik ini berkata, dengan keadaan ruang rumah yang kecil untuk ‘diisi’ sebanyak sembilan orang, dia terpaksa berkongsi dengan tiga rakan lain dalam satu bilik dan tidur di atas lantai.

“Ruang tamu pula dipenuhi dengan barang kami sebab bilik sudah tidak muat untuk diisi dengan barangan. Tidak selesa tetapi apa boleh saya buat.

“Namun, saya bersyukur kerana ‘penderitaan’ itu tidak lama kerana akhirnya saya mendapat rumah lain yang bukan sahaja sewa lebih rendah, keadaan persekitaran lebih selesa,” katanya.


Ali menunjukkan surau yang dijadikan tempat tidur kerana tidak cukup wang untuk menyewa bilik. - NSTP/Mustaffa Kamal

Surau jadi rumah sementara pelajar

Surau sekitar kampus dan masjid berdekatan universiti menjadi lokasi mudah penuntut untuk bermalam sementara mendapat rumah sewa yang mampu dibayar mereka.

Itu hakikat yang terpaksa ditempuh segelintir penuntut universiti di ibu negara kerana tiada pilihan lain berikutan kadar sewa rumah di bandar raya yang disifatkan ‘cekik darah’.

Ada penuntut sanggup hidup secara nomad dengan tidur di surau pada waktu malam dan mandi di tandas fakulti setiap hari sebelum ke kelas, atas faktor kesempitan duit.

Pengalaman ‘menghuni’ sementara di surau dikongsi oleh penuntut jurusan Pendidikan Sains Komputer yang hanya mahu dikenali sebagai Ali yang menjadikan rumah ibadat itu sebagai rumahnya selama dua minggu.

Ali, 22, berkata, ketika itu dia terpaksa menetap sementara di surau fakultinya kerana mempunyai masalah mencari rumah sewa yang di bawah bajetnya.

Selain itu, Ali yang berasal dari Sik, Kedah ini berkata masalah turut dihadapi untuk mencari rakan serumah dalam bilangan yang ramai, untuk berkongsi membayar sewa dan deposit.

“Kadangkala deposit rumah ini boleh mencecah RM5,000 menyebabkan kami buntu nak cari duit untuk bayar kepada pemilik rumah dan pada masa sama nak cari rakan dalam kelompok ramai sebagai rakan serumah agak mengambil masa.

“Justeru, sebagai penyelesaiannya, suraulah tempat kami berteduh sementara sebelum dapat mencari rumah untuk disewa,” katanya kepada BH, di sini.

Ali berkata, kebiasaannya dia hanya ‘balik’ ke surau pada waktu malam untuk tidur sekitar jam 12 tengah malam dan bangun pada jam 5 pagi sebelum mandi di tandas fakulti untuk pergi ke kelas.

Ali yang juga anak bongsu daripada lima beradik ini berkata, dia turut meletakkan barangan keperluan asasnya seperti sabun dan beberapa helai pakaian di dalam surau bagi memudahkan urusan hariannya.

“Walaupun nampak seperti nomad, sebenarnya saya selesa juga tidur di surau kerana ada pendingin hawa meskipun sekadar tidur beralaskan permaidani.

“Namun, yang paling penting, kos pengangkutan dapat dikurangkan dengan tidur di surau fakulti kerana sangat dekat untuk ke kelas,” katanya yang baru mendapat kediaman tetap.

Ali berkata, senario di mana penuntut ‘menetap’ di surau adalah perkara biasa dan tidak asing dalam kalangan mereka yang ada ketika sanggup tidur di rumah ibadat itu berbulan-bulan lamanya.

Turut berkongsi pengalaman sama ialah penuntut universiti awam yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia, 22, yang terpaksa berteduh di surau kolejnya selama seminggu sementara menunggu rayuan untuk tinggal di hostel.

Sofia yang juga penuntut tahun keempat jurusan Pendidikan Islam, berkata tidur di surau adalah satu-satunya pilihan yang ada berikutan dia tidak mempunyai peruntukan untuk menyewa rumah ataupun ‘menghuni’ di hotel sementara permohonan rayuan diterima pihak universiti.

Penuntut berasal dari Besut, Terengganu, ini berkata, menginap sementara di surau sudah tidak dianggap perkara ganjil di universitinya kerana memang wujud satu kumpulan yang selesa menumpang tidur di rumah ibadat itu atas pelbagai alasan, majoritinya disebabkan masalah kewangan.

“Saya tak tahu nak tinggal mana ketika itu sebab nak tumpang bilik kawan pun, semua dah penuh. Jadi, saya fikir tak apalah saya tinggal sahaja di surau, tak payah fikir soal tambang nak ke kelas sebab letaknya berhampiran sahaja.

“Nak menyewa rumah di luar memang tidak mampu kerana saya anak sulung daripada tujuh beradik dengan enam adik lain semuanya bersekolah. Ayah sudah meninggal dan ibu hanya bekerja sebagai guru mengaji dengan pendapatan RM500 sebulan.

“Saya hanya mengharapkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk belanja bulanan dengan peruntukan RM5 sehari. Saya tidak ada peruntukan langsung untuk menyewa di luar.

“Justeru, saya menjadikan surau sebagai rumah saya selama lebih seminggu. Ramai juga yang tinggal di surau, dalam 13 orang malah ada juga yang tinggal berbulan-bulan sebab masalah kewangan,” katanya.

Sofia berkata, selama seminggu tinggal di surau, dia bersama rakan lain hanya tidur di atas lantai dengan barangan keperluan asas mereka termasuk beg baju disembunyikan di bawah rak telekung.

“Memang sakit badanlah masa itu sebab hanya tidur atas lantai dengan bertemankan kipas. Kami bangun awal kira-kira jam 5.30 pagi sebab bimbang mak cik tukang bersih surau marah kami,” katanya.


Sebahagian penuntut universiti awam yang hidup ala warga asing berikutan kadar sewa rumah yang mahal di sekitar ibu kota. - Foto NSTP

Kadar sewa penuntut, penyewa berkeluarga tidak sama

Penyewa dan pemilik kediaman berhampiran institusi pengajian tinggi mengakui kadar sewa ke atas penuntut adalah berbeza berbanding harga untuk penyewa berkeluarga.

Berdasarkan tinjauan BH, kadar sewaan yang ditawarkan kepada penuntut dan penyewa berkeluarga di unit kediaman jenis flat dan apartmen berbeza antara 20 hingga 30 peratus.

Antara alasan mereka ialah kadar sewaan bagi penuntut diberikan mengikut bayaran secara individu iaitu antara RM150 hingga RM200, selain pemilik terpaksa menyewakan dengan kadar lebih tinggi untuk menampung risiko kerosakan rumah berikutan diduduki dalam bilangan ramai.

Penyewa sebuah apartmen di Pantai Dalam, Norhazana Yahya, 41, berkata dia bersama ahli keluarganya menyewa kediaman terbabit dengan bayaran RM800 sebulan namun jirannya yang juga terdiri daripada penuntut diberikan kadar berbeza iaitu RM1,100 sebulan.

Norhazana yang bekerja di sebuah hotel, di sini, mengakui kadar sewa untuk keluarga dan penuntut memang berbeza, tertakluk kepada budi bicara pemilik rumah.

“Biasanya sewa untuk penuntut mahal sedikit seperti dikenakan ke atas jiran saya kerana pemilik mungkin takut rumah rosak berikutan yang duduk biasanya mencecah hingga 10 orang.

“Tetapi selalunya penuntut terima sahaja kadar sewa yang dikenakan sebab mereka boleh berkongsi bersama rakan lain. Kemudahan seperti pengangkutan awam di sini juga mudah,” katanya.


Sebahagian penuntut universiti awam yang hidup ala warga asing berikutan kadar sewa rumah yang mahal di sekitar ibu kota. - Foto NSTP

Pemilik sebuah kediaman flat, di sini, Azrueme Abu Bakar, 30, pula berkata tempoh sewaan singkat juga menjadi antara faktor pemilik unit mengenakan sewaan lebih tinggi kepada penuntut.

Azrueme berkata, ini kerana selepas habis pengajian, penuntut biasanya akan berpindah keluar rumah berkenaan menyebabkan pemilik rumah terpaksa ‘bekerja keras’ mencari penyewa lain.

Sementara pemilik sebuah kediaman flat di Kerinchi, di sini, Abdul Razak Ali, 51, pula berkata pemilik unit berhak mengenakan sewa lebih tinggi kepada penuntut kerana golongan itu kadangkala meminta kemudahan tertentu seperti dapur dan katil.

“Kalau nak dapat kadar sewa RM600 itu memang tak bolehlah, lebih-lebih lagi di tengah bandar ini. Jadi, saya rasa kadar RM1,000 itu munasabah kerana pemilik pun harus ‘melayan’ kerenah mereka,” katanya.

Berita Harian X