Ahad, 20 Oktober 2019 | 1:12pm
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - Foto Aizuddin Saad
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - Foto Aizuddin Saad

Kementerian siasat siswa tinggal bersesak di rumah sewa

PONTIAN: Kementerian Pendidikan akan mendapatkan maklumat lengkap berhubung laporan mahasiswa terpaksa hidup bersesak-sesak di rumah sewa berikutan kadar sewa kediaman luar kampus yang mahal sekitar ibu kota.

Maklumat itu diperlukan oleh kementerian untuk menentukan lokasi dan tindakan susulan yang boleh diambil.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata beliau sudah membaca laporan berkenaan dan mengarahkan pegawai mendapatkan maklumat lengkap termasuk lokasi atau sama ada kes itu terpencil dan memerlukan bantuan tertentu.

“Kementerian akan berhubung dengan BH untuk mendapatkan lokasi sebenar kejadian supaya kita mendapat kepastian mengenai pelajar yang menghadapi masalah itu.

“Kita juga mahu dapatkan perincian lebih lanjut sama ada ia isu terpencil atau memerlukan bantuan sewajarnya dari kementerian.

“Pegawai kementerian akan berhubung dengan BH bagi mendapatkan perincian lanjut laporan berkenaan, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jom Sekolah 2020 oleh Yayasan Harapan Pontian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Kerang, Tanjung Piai, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Yayasan Harapan Pontian, Zulkifly Tasreep dan Pengetua SMK Teluk Kerang, Azizah Omar.

BH dalam laporan muka depannya hari ini mendedahkan kadar sewa rumah kos rendah di bandar raya ini yang mencecah hingga RM1,500 sebulan memaksa penuntut universiti menetap seperti warga asing atau menjalani kehidupan seharian ala nomad.

Lebih membebankan, jika tiada pilihan, mereka terpaksa menyewa rumah atas tanah atau teres dua tingkat mencecah RM3,000 sebulan, dengan berkongsi tinggal sehingga 20 orang.

Berdasarkan tinjauan BH, rumah flat di sekitar bandar raya disewakan pada harga paling rendah antara RM1,000 hingga mencecah RM1,500, manakala deposit pula membabitkan bayaran dua tambah satu, termasuk utiliti pada kadar RM300 hingga RM500.

Berita Harian X