Jumaat, 18 Oktober 2019 | 5:47pm
TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Kolaboratif Kebangsaan ke-21 di Hotel King’s Green, Jalan Tun Perak. - Foto NSTP/Rasul Azli Samad
TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Kolaboratif Kebangsaan ke-21 di Hotel King’s Green, Jalan Tun Perak. - Foto NSTP/Rasul Azli Samad

Lepasan universiti, SPM dipelawa usahakan TASKA

MELAKA: Kerajaan sedia mempertimbangkan permohonan daripada lepasan universiti dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat untuk mengusahakan taman asuhan kanak-kanak (TASKA).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata pihaknya menggalakkan golongan itu untuk menceburi bidang berkenaan memandangkan industri terbabit bakal berkembang dan menjadi pilihan bagi keluarga yang berkerjaya.

Beliau berkata, kerajaan akan menyediakan dana bagi tujuan berkenaan asalkan mereka bersedia untuk memulakan kerjaya itu sebagai pilihan utama selepas menamatkan pengajian.

“Saya mempelawa graduan terutama wanita untuk menceburi bidang ini. Kalau mahu bersaing di peringkat antarabangsa, mereka perlu gigih melakukan lebih kerja untuk meningkatkan profesionalisme serta pendapatan diri.

“Industri ini akan berkembang pesat tidak lama lagi, apatah lagi menerusi Belanjawan 2020, kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM30 juta bagi membolehkan lebih banyak TASKA dibuka di negara ini tahun depan,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Kolaboratif Ke-21 di Hotel King Green, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, EXCO Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Ginnie Lim Siew Lin dan Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Anisa Ahmad.

Sementara itu, Yeoh meminta pengusaha TASKA di negeri ini supaya menghantar pekerja mereka membuat semakan diri di Pejabat Kebajikan daerah bagi memastikan mereka bebas daripada salah laku jenayah termasuk membabitkan seksual kanak-kanak.

Katanya, semakan menerusi Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Dalam Daftar Kanak-Kanak (eDKK) itu akan menentukan sama ada pekerja mereka layak untuk mengasuh kanak-kanak di TASKA terbabit atau sebaliknya.

“Setakat ini, Melaka, Perlis dan Labuan masih belum melaksanakan pemeriksaan itu dan saya berharap langkah terbabit disegerakan bagi memastikan nama baik pengusaha TASKA tidak dicemari dengan kesalahan yang pernah dilakukan pekerjanya sendiri,” katanya.

Berita Harian X