Rabu, 16 Oktober 2019 | 7:13pm
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merasmikan Pelaksanaan SHMMP Deepavali 2019 di Kuantan, hari ini. - Foto Zulkepli Osman
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merasmikan Pelaksanaan SHMMP Deepavali 2019 di Kuantan, hari ini. - Foto Zulkepli Osman

SHMMP Deepavali bermula Sabtu ini

KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan barangan bagi sambutan Deepavali kira-kira dua minggu lagi mencukupi dan dapat memenuhi keperluan pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata jaminan itu dapat diberikan selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta pihak pengeluar, pengimport dan pembekal di seluruh negara.

“Tidak ada masalah (bekalan) kerana pegawai kita sudah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Kementerian Pertanian (dan Industri Asas Tani) sebelum ini.

“Apabila kita sudah pasti semua (bekalan) mencukupi, baru kita boleh lancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi memudahkan rakyat mendapatkan bekalan barangan diperlukan untuk menyambut Deepavali,” katanya selepas merasmikan Pelaksanaan SHMMP Deepavali 2019, di sini, hari ini.

Pelaksanaan SHMMP Deepavali 2019 bermula Sabtu ini, dengan tiga barangan baharu disenaraikan menjadikan 19 barangan, berbanding 16 barangan sebelum ini.

Saifuddin Nasution berkata, tiga barangan itu ialah cili kering, kubis bulat import dari Indonesia dan China serta bendi.

“Tempoh SHMMP kali ini selama 14 hari berbanding 10 hari pada tahun lalu. Ia bermula 19 Oktober atau tujuh hari sebelum perayaan dan berakhir 1 November, pelaksanaan skim ini mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Antara senarai harga yang sudah tetapkan ialah ayam hidup dijual pada harga RM5.30 setiap kilogram (kg) untuk borong, manakala harga runcit pula RM5.80/kg; ayam standard RM6.60/kg (borong) dan RM7.30/kg (runcit); daging kambing tempatan bertulang RM44.00/kg (borong) dan RM47.00/kg (runcit); daging kambing dan bebiri import bertulang RM20/kg (borong) dan RM25.00/kg (runcit).

“Semua senarai harga ini dapat diakses orang ramai melalui laman sesawang KPDNHEP dan pengguna yang mempunyai pertanyaan atau aduan boleh berbuat demikian dengan melayari portal e-aduan kami atau menghubungi pusat panggilan Kerajaan Malaysia (MYGCC) di talian 03-8000 8000,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pemantauan harga sepanjang pelaksanaan SHMMP Deepavali akan dilakukan secara bersama dengan pegawai pemantau harga dilantik KPDNHEP, kerajaan negeri dan agensi kerajaan berkaitan, selain pembabitan pemimpin masyarakat setempat.

Berita Harian X