Rabu, 16 Oktober 2019 | 1:24pm
Dr Mahathir berkata, apabila masalah kemiskinan di luar bandar tidak dapat di atasi, maka penduduknya akan berhijrah ke bandar. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Dr Mahathir berkata, apabila masalah kemiskinan di luar bandar tidak dapat di atasi, maka penduduknya akan berhijrah ke bandar. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Kemiskinan bandar kerana tiada kemahiran - PM

KUALA LUMPUR: Kemiskinan bandar wujud akibat tindakan yang tidak berkesan dalam menangani kemiskinan di luar bandar.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata apabila masalah kemiskinan di luar bandar tidak dapat di atasi, maka penduduknya akan berhijrah ke bandar.

Mereka berhijrah kerana mereka mahu mendapatkan pekerjaan di bandar.

“Masalahnya timbul apabila mereka tidak mempunyai kelayakan atau kemahiran yang sesuai dengan pekerjaan yang sedia ada, menyebabkan kumpulan itu terus miskin dan menambahkan jumlah kemiskinan di bandar,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Hari Antarabangsa Bagi Membasmi Kemiskinan anjuran Yayasan Sejahtera di sini, hari ini.

Justeru, antara langkah yang boleh diambil untuk menangani perkara itu ialah dengan memberi penduduk terbabit latihan dan kemahiran untuk memenuhi permintaan pekerjaan di kawasan bandar.

Pada masa sama, beliau mencadangkan golongan berpendapatan rendah supaya menceburi bidang perniagaan kecil-kecilan dan keusahawanan.

“Mereka perlu belajar bagaimana melakukan perniagaan walaupun ia sekadar kecil-kecilan,” katanya

Menyentuh isu yang sama, Dr Mahathir turut membangkitkan kebimbangan beliau terhadap sikap peniaga kecil yang masih statik pencapaian mereka.

“Kita perhatikan bahawa sesetengah komuniti peniaga kecil di Malaysia ini tidak tahu bagaimana mengembangkan perniagaan mereka.

“Mereka sangat statik, dan hanya berniaga sekadar mendapat wang untuk menyokong keperluan harian saja, mereka tidak berusaha untuk mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Justeru, katanya golongan berkenaan perlu dididik mengenai keperluan dalam pengembangan perniagaan supaya dapat keluar dari kelompok miskin bandar.

Terdahulu, dalam ucapannya Dr Mahathir berkata, Malaysia mencapai kemajuan dalam usaha membasmi kemiskinan tetapi masalah itu tetap berlaku dan memerlukan perhatian kerajaan melalui pelaksanaan dasar.

Masalah yang wujud bukan hanya membabitkan kemiskinan mutlak tetapi juga kemiskinan relatif, kemiskinan yang berterusan dan kemiskinan bandar serta peningkatan ketidaksamaan.

“Walaupun kemiskinan luar bandar masih terus menjadi kritikal, kemiskinan di bandar memerlukan perhatian dasar dan langkah penyelesaian.

“Poket kemiskinan yang berterusan terus menghalang penyelesaian dasar di Malaysia,” katanya.

Berita Harian X