Selasa, 15 Oktober 2019 | 7:36pm
Keratan akhbar BH, semalam.

Syor tambah benteng pemecah ombak

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membina lebih banyak benteng pemecah ombak bagi menangani masalah hakisan pantai terutama di kawasan kritikal.

Pengarah Institut Kejuruteraan Pantai dan Lepas Pantai (IKPLP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Ahmad Khairi Abd Wahab, berkata benteng pemecah ombak antara kaedah berkesan menghalang hakisan ombak.

“Kerajaan perlu mengutamakan perancangan seperti langkah meningkatkan daya tahan sebelum zon pantai yang terbabit bakal berdepan kesan buruk pada masa depan.

“Tidak dinafikan kos pembinaannya (benteng pemecah ombak) tinggi membabitkan jutaan ringgit, tetapi ia penting supaya perkara ini dapat ditangani,” katanya ketika dihubungi BH semalam.


Pengarah IKPLP UTM, Prof Dr Ahmad Khairi Abd Wahab. - NSTP/Zulkarnain Ahmad Tajuddin

BH semalam melaporkan masalah hakisan pantai terutama di Semenanjung berterusan biarpun pelbagai usaha membabitkan kos berbilion ringgit sudah diambil pihak berkuasa untuk membendungnya sejak beberapa tahun lalu.

Pantai di Terengganu, Kelantan, Johor dan Melaka dikesan mengalami hakisan teruk sehingga menyebabkan penempatan tepi pantai berisiko di telan ombak serta terjejas.

Bagi menangani kos pembinaan benteng pemecah ombak yang tinggi, Ahmad Khairi berkata, kerajaan perlu melakukan kajian dan eksperimen bagi mencari kaedah terbaik dalam membina benteng berkenaan.

“UTM sendiri ada melakukan kajian dan berjaya menghasilkan mekanisme seperti benteng pemecah ombak pada harga berpatutan dan terbukti mampu mengurangkan tenaga ombak dikenali sebagai Hydrocheese.

“Hydrocheese ialah struktur konkrit yang diletakkan dalam air bertindak sebagai pengawal hakisan, mengurangkan tenaga ombak dan juga sebagai tukun tiruan,” katanya.

Seunit Hydrocheese memiliki lebar 1.5 meter dihasilkan pada anggaran RM2,000.


Keadaan benteng penahan yang terjejas akibat hakisan dan fenomena air pasang besar di Pantai Sungai Haji Dorani. - NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin

Hakisan Pantai Sungai Haji Dorani makin teruk

Hakisan kawasan pantai di sekitar Pantai Sungai Haji Dorani, di Sungai Besar, meresahkan penduduk di kawasan itu terutama ketika hujan lebat dan fenomena air pasang besar.

Tinjauan BH mendapati kawasan tepi pantai itu terhakis teruk dan menyebabkan benteng penahan yang dibina di kawasan itu boleh runtuh bila-bila masa.

Penduduk, Arifin Abu Bakar, 39, berkata beliau khuatir keselamatan penduduk sekiranya benteng itu tidak mampu menahan hakisan.

“Orang kampung selalu bercakap benteng di sini (Pantai Sungai Haji Dorani) semakin terhakis saban hari. Kalau tidak dibaiki (benteng), berkemungkinan besar ia akan runtuh dan semua (penduduk) di sini akan terjejas.

“Malah, bencana boleh berlaku apabila ombak besar dan ribut sekiranya benteng penahan itu tidak dibaiki dengan kadar segera,” katanya.

Arifin mendakwa, hakisan itu juga menyebabkan haiwan seperti burung tidak lagi berada sekitar pantai itu.

Penduduk lain, Hamsan Sahudin, 57, berkata pihak berwajib perlu membuat benteng penahan baharu bagi menggantikan yang sedia ada.

“Binalah benteng baharu dan tambak kawasan yang berisiko supaya hakisan dapat dikurangkan.

“Tak kan nak tunggu benteng penahan pecah, baru nak ambil tindakan? Yang akan jadi mangsa nanti, penduduk yang tinggal sekitar kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Besar Muslimin Yahaya berkata, beliau akan berbincang dengan pihak berkaitan bagi tindakan lanjut.

“Bukan sahaja Pantai Sungai Haji Dorani yang terjejas akibat hakisan, malah Pantai Batu 23, Sungai Nibong dan Parit 5, Sekinchan turut mengalami masalah sama.

Di Kuala Terengganu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM90 juta bagi melaksanakan projek mengatasi masalah hakisan pantai di Kampung Pangkalan Maras.


Antara tempat hakisan yang ditambak di Pantai Kampung Telipot, Kuala Nerus. - NSTP/Rozainah Zakaria

Kerja penambahbaikan membabitkan kawasan sepanjang 500 meter itu dijangka dimulakan akhir bulan ini.

“Selepas Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan projek mengatasi masalah hakisan di kawasan Mengebang Telipot, kesannya menyebabkan hakisan di Kampung Pangkalan Maras yang terletak bersebelahan,” katanya.

Antara kaedah yang dipertimbangkan adalah membina benteng pemecah ombak atau T-Groins seperti yang dilaksanakan di Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu.

Kerajaan negeri akan terus berunding dengan Kerajaan Persekutuan supaya peruntukan segera dapat dikeluarkan untuk projek pengawalan hakisan di beberapa pantai lain yang turut terjejas dengan hakisan di Dungun, Kemaman dan Besut.

“Hakisan di semua pantai itu dikategorikan kritikal dan memerlukan peruntukan besar di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Di Melaka, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka, Abdul Hakim Hamzah berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM3 juta kepada pihaknya untuk melaksanakan pembinaan tembok lapis lindung atau rock revetment bagi mengatasi masalah hakisan pantai yang serius di tiga kampung di perairan pantai barat Melaka, di Alor Gajah.

Ia membabitkan Kampung Hilir, Kuala Sungai Baru; Kampung Tanjung Dahan di Kuala Linggi dan Kampung Pengkalan Balak di Masjid Tanah yang mengalami hakisan pantai teruk sejak hujung Ogos lalu berikutan ombak besar.

“Setakat ini hanya tiga kampung itu akan terbabit dalam pembinaan tembok rock revetment, manakala Kampung Balik Batu di Tanjung Bidara yang turut mengalami masalah yang sama, perlu menunggu peruntukan yang lain,” katanya.

Berita Harian X