Selasa, 15 Oktober 2019 | 6:30pm
AHLI Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen. - Foto NSTP/Syarafiq Abd Samad
AHLI Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen. - Foto NSTP/Syarafiq Abd Samad

Golongan miskin perlu dibekalkan kemahiran - Anwar

KUALA LUMPUR: Pergantungan terhadap bantuan dan subsidi secara berterusan bukan langkah jangka panjang untuk memperkasakan ekonomi golongan berpendapatan rendah.

Sebaliknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) berpandangan ia perlu disusuli dasar merekayasa latihan dan kemahiran dalam kalangan golongan sasar.

Langkah itu lebih berkesan ke arah membebaskan mereka daripada kemelut kemiskinan, sekali gus merapatkan kesenjangan antara yang kaya dan miskin.

“Dalam konteks pemerkasaan ekonomi golongan miskin, sektor pertanian memerlukan reformasi kerana ramai golongan itu tergolong dalam kelompok isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Saya perhatikan, sektor pertanian mendapati golongan pesawah adalah yang paling miskin sehingga ada pihak merujuk mereka sebagai golongan miskin tegar.

“Perlu ada naratif baharu untuk meningkatkan ekonomi mereka, bukan hanya bergantung kepada kaedah lama,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata, kerajaan perlu memandang serius isu pergantungan import bekalan makanan yang mencecah sehingga RM50 bilion setahun.

Kerajaan perlu menjelaskan pendekatan komprehensif yang dilaksanakan untuk menangani isu ini.

“Makanan di Malaysia mencukupi, namun bekalan makanan bergantung kepada import.

“Cabaran semasa kita ialah keperluan makanan masih bergantung kepada import. Tidak dinafikan dalam pembentangan Belanjawan 2020, kerajaan memperuntukkan pelbagai subsidi, bantuan dan insentif bagi meringankan bebanan hidup golongan miskin.

“Ia juga menampung pendapatan pekebun kecil getah, peneroka, nelayan dan penanam padi, namunperlu disusuli langkah proaktif untuk meningkatkan ekonomi golongan itu secara berterusan,” katanya.

Berita Harian X