Isnin, 14 Oktober 2019 | 4:18pm
Nelayan, Othman Ibrahim meninjau keadaan pondok pangkalan nelayan yang ranap. - NSTP/Jamah Nasri
Penduduk guna tayar lama sebagai benteng ombak. - NSTP/Hassan Omar

Hakisan pantai makin meruncing di Semenanjung

KUALA LUMPUR: Masalah hakisan pantai di Semenanjung berterusan biarpun pelbagai usaha membabitkan belanja berbilion ringgit sudah diambil pihak berkuasa untuk membendungnya sejak beberapa tahun lalu.

Faktor semula jadi seperti bentuk muka bumi semenanjung yang terdedah kepada lautan luas dan tiupan angin monsun yang menyebabkan ombak besar serta pembangunan tidak mesra alam di kawasan pantai memastikan masalah hakisan pantai ini terus berlaku.

Setiap tahun, beberapa meter kawasan pantai akan terhakis ke dalam laut akibat ombak besar yang tidak henti membadai.

Tinjauan BH mendapati beberapa kawasan pantai, terutama di Pantai Timur Semenanjung, mengalami hakisan yang begitu teruk hinggakan ada penempatan penduduk yang sudah ditelan ombak.

Malah, ada rumah penduduk di penempatan tepi pantai dimasuki limpahan air laut setiap kali waktu air pasang, terutama pada waktu malam.

Paling terkesan ialah kawasan pantai sekitar Bachok, Kelantan, di mana kira-kira 2,500 penduduk Kampung Kemayan dan kawasan sekitar kini berdepan kerosakan dan kehilangan rumah susulan ombak yang terus mengganas.


Tinjauan dari udara Kampung Tanjung Gelam mengalami hakisan walau benteng pemecah ombak siap dibina. - NSTP/Imran Makhzan

Ada kawasan pantai di kawasan itu yang pada satu masa dulu terdapat banyak rumah penduduk tetapi kini yang tinggal hanya kawasan laut yang terus menghakis ke darat.

Di Terengganu, antara kawasan yang paling kritikal ialah Seberang Takir dan Mengabang Telipot di Kuala Nerus; Pantai Sura di Dungun; dan Pantai Geliga di Kemaman.

Walaupun benteng pemecah ombak dan tambakan batu (pulau) sudah dibina Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di beberapa kampung di Kuala Nerus yang sebelum ini mengalami hakisan teruk, penduduk masih bimbang diancam badai, terutama menjelang musim tengkujuh bulan depan.

Benteng pemecah ombak yang dibina tidak begitu berkesan dalam menangani masalah hakisan pantai. Malah keadaan menjadi lebih buruk apabila ada benteng yang dibina mendap dan menghakis pasir yang ditimbun di situ.

Masalah hakisan pantai turut berlaku di beberapa kawasan di Pantai Barat Semenanjung biarpun tidak seburuk seperti di Pantai Timur.


Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Sembilan, Abu Bakar Dawam menunjukkan saluran air terjejas akibat hakisan di Pangkalan Nelayan Batu 7, Telok Kemang, Port Dickson. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Penduduk di Kampung Seri Menanti, Muar, Johor, misalnya hidup dalam keresahan apabila benteng laut di kawasan pantai mulai runtuh akibat hakisan laut yang semakin kritikal.

Keadaan itu menyebabkan penduduk tidak berani untuk mengikut laluan benteng itu berikutan bahagian tebing yang sudah runtuh dihakis gelombang laut.

Mereka juga bimbang benteng yang menjadi penampan antara laut dan parit pecah hingga menyebabkan air masin memasuki ke bahagian hulu hingga boleh mengganggu aktiviti pertanian di sebelah daratan.

Habitat hidupan liar juga terancam apabila beberapa pohon semula jadi seperti pokok bakau turut tumbang akibat hakisan.

Kuala jeti nelayan di situ turut mengalami masalah apabila dasarnya dimasuki lumpur dan menjadi cetek hingga menyukarkan bot untuk keluar ke laut.

Di Melaka, hakisan teruk dikesan berlaku di Pantai Puteri, Tanjung Kling, di daerah Melaka Tengah dan sepanjang Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi di daerah Alor Gajah, sejak Julai lalu berikutan tiupan kencang angin selatan yang menyebabkan ombak besar membadai pantai.


Antara tempat hakisan yang ditambak di Pantai Kampung Telipot, Kuala Nerus, Terengganu. - NSTP/Rozainah Zakaria

Malah, ada penduduk di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, dikejutkan dari tidur oleh dentuman kuat apabila dapur rumah mereka roboh dihentam ombak besar.

Masalah hakisan di Pantai Puteri pula dikesan sudah berlarutan sejak lima tahun lalu berikutan kekurangan benteng pemecah ombak yang dibina di pantai berkenaan.

Ombak besar yang menghakis Pantai Puteri sepanjang kira-kira lima kilometer dari Kampung Hailam hingga Pantai Tanah Merah, menyebabkan lebih 20 pokok rhu tumbang.

Keadaan ini menyebabkan struktur pasir di pantai itu semakin longgar dan mengurangkan kawasan perkelahan pelancong selain menjejaskan menyebabkan pangkalan nelayan.

Hakisan pantai jika tidak ditangani dengan bijak akan terus mencetuskan masalah kepada penduduk di kawasan itu. Usaha mengurangkan kesan hakisan pantai perlu dilaksanakan secara terancang dan bersepadu.

Jika tidak segala perbelanjaan besar mencecah berbilion ringgit akan menjadi sia-sia kerana ombak laut akan terus membadai dan menghakis setiap sentimeter pantai yang mungkin setiap hari.

Guni pasir, tayar jadi benteng hakisan

Kira-kira 2,500 penduduk Kampung Kemayan dan kawasan sekitar Bachok, Kelantan, berdepan kerosakan rumah dan kehilangan kediaman susulan masalah hakisan pantai sejak 10 tahun lalu.


Abdul Rahman menyusun guni pasir di belakang rumahnya di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka. - NSTP/Jamah Nasri

Lebih menyedihkan, kawasan itu seperti hanya menunggu masa untuk lenyap ditelan ombak apabila sebahagian kawasan pantai sejauh hampir 500 meter sudah terhakis.

Penduduk, Ramlah Omar, 55, berkata antara kawasan terjejas teruk ialah kawasan rumah yang didiami bersama suami, Mat Amin Abdullah, 55, serta empat anak mereka.

Ketika mereka menduduki kampung itu, terdapat 20 rumah berada berdekatan pantai tetapi kini hanya tinggal dua rumah sahaja, termasuk rumahnya yang turut dijadikan kedai makan.

“Saya masih ingat ada tujuh rumah di depan kedai saya tetapi kini kawasan itu sudah menjadi laut. Sebahagian penduduk memilih untuk berpindah ke tempat lain.

“Kami nak tinggalkan tempat ini rasa sayang kerana rumah ini satu-satunya peninggalan keluarga suami, tambahan pula kedai makan inilah punca rezeki kami,” katanya ketika ditemui BH.

Ramlah berkata, paling ditakuti penduduk adalah musim tengkujuh antara November hingga Disember kerana kawasan itu turut dilanda banjir.

“Selain itu, kami juga risau setiap kali air pasang jam 7 petang hingga 10 malam kerana kadang-kadang air laut masuk hingga ke dalam kedai dan rumah,” katanya.

Penduduk, Mat Zemi Mohamad, 50, pula berkata dia pernah bekerja memunggah batu pemecah ombak di Pantai Kemayan pada tahun 1986 bagi mengekang masalah hakisan di situ.

Namun, katanya, masalah hakisan semakin teruk di kawasan itu yang memberi risiko kepada lebih 500 keluarga kampung itu dan 13 kedai makan di situ.

“Sepatutnya benteng dibuat dari Pantai Kemayan hingga ke Pantai Senok dalam lingkungan dua kilometer supaya masalah hakisan di sini dapat diatasi,” katanya.

Di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka, Azlan Idris, 58, dan tujuh ahli keluarganya terpaksa lari menyelamatkan diri apabila dapur rumah mereka roboh dipukul ombak besar ketika air pasang penuh.

"Kami amat takut apabila terdengar dentuman kuat dari arah dapur dan bergegas keluar rumah dalam keadaan mengantuk kerana ketika kejadian, kami baru masuk tidur," kata Azlan

Menceritakan kejadian jam 11 malam pada 17 Ogos lalu itu, Azlan berkata isteri, dua anak perempuan, seorang menantu lelaki serta tiga cucunya sudah tidur apabila dia tiba-tiba terdengar dentuman kuat dari arah dapur.

"Saya terus mengejutkan isteri dan yang lain sebelum mengarahkan mereka lari keluar rumah kerana bimbang dapur yang sudah roboh akan merebak ke ruang tamu dan bilik,” katanya.

Nelayan itu berkata, masalah hakisan pantai sejak awal Ogos lalu semakin serius berikutan angin selatan yang bertiup sejak awal Julai lalu , sekali gus mengancam kediamannya dan empat rumah jirannya.

Jirannya, Aisyah Abdul Ghani, 52, berkata dia dan suami, Abdul Rahman Daud, 59, serta dua anak lelaki berusia 16 dan 21 tahun bimbang kerana air laut sudah hampir mengena lantai dan dinding dapur.

Bagi mengurangkan kesan hakisan, anaknya Mohd Fadzrin, 21, terpaksa membina benteng guni pasir di bahagian belakang kediaman mereka.

Di Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, dekat Alor Gajah, pesara polis, Mohd Satar Maarof, 65, pula tetap gigih membina benteng guni pasir dan tayar terpakai untuk menyelamatkan kediamannya.

Biarpun pernah diserang sakit jantung pada 2017 dan menjalani prosedur angioplasti di Institut Jantung Negara (IJN), Mohd Satar dan isteri, Latifah Aziz, 64, tidak mempunyai pilihan selain membina benteng berkenaan.

Penduduk di Kampung Seri Menanti, Muar, Johor, juga resah apabila benteng laut sepanjang satu kilometer di kawasan pantai itu mulai runtuh akibat hakisan laut yang semakin kritikal.

Muhamad Padang, 71, berkata keadaan itu menyebabkan penduduk tidak berani untuk melalui benteng itu kerana banyak bahagian tebing yang runtuh.

Mereka juga bimbang benteng yang menjadi penampan antara laut dan parit pecah hingga menyebabkan air masin memasuki ke bahagian hulu hingga boleh mengganggu aktiviti pertanian di sebelah daratan.

“Ini menyebabkan laluan antara jeti nelayan ke arah Parit Bulat yang juga laluan alternatif penduduk kini hanya dapat dilalui oleh motosikal sahaja. Jika keadaan ini tidak diatasi segera, kemungkinan besar motosikal pun tidak boleh melaluinya lagi,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Samadi berkata, kawasan pertanian di kawasan itu akan terjejas jika masalah hakisan itu tidak diselesaikan secepat mungkin.

“Hakisan pada benteng ini dikhuatiri menyebabkan ia putus dan membolehkan air laut masuk ke dalam parit dan menyebabkan tanaman seperti kelapa sawit dan buah-buahan musnah.

“Parit ini juga berfungsi sebagai saliran air dari kawasan di sebelah hulu. Jika benteng ini pecah dan menutup saliran air, kita bimbang ia boleh menyebabkan banjir,” katanya.

Berita Harian X