Isnin, 14 Oktober 2019 | 4:14pm
ZURAIDA Kamaruddin menghadiri Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2019 sempena Persidangan Asia Pasifik Urban Ke-7 (APUF-7) di Pusat Konvensyen SPICE, Bayan Lepas, Penang. - Foto NSTP/Mikail Ong
ZURAIDA Kamaruddin menghadiri Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2019 sempena Persidangan Asia Pasifik Urban Ke-7 (APUF-7) di Pusat Konvensyen SPICE, Bayan Lepas, Penang. - Foto NSTP/Mikail Ong

Had harga rumah pembeli asing boleh ditetapkan negeri

GEORGETOWN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menentukan had harga rumah kepada pembeli asing, mengikut keperluan dan kesesuaian masing-masing.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata nilai hartanah yang berbeza di setiap negeri menyebabkan had harga rumah kepada pembeli asing itu boleh diselaraskan mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan negeri.

“Ia berdasarkan keadaan negeri masing-masing. (Cadangan penurunan had harga rumah untuk pembeli asing kepada RM600,000) itu adalah garis panduan peringkat nasional.

“Mereka boleh mengkaji, apakah ratio yang terbaik di negeri-negeri mereka. Contohnya hartanah di Perlis dan Pulau Pinang, kedua-duanya macam langit dan bumi. Itu perkara yang perlu diperhalusi dan diteliti oleh setiap negeri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Zuraida menghadiri Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2019 sempena Persidangan Asia Pasifik Urban Ke-7 (APUF-7) di Pusat Konvensyen SPICE, di sini.

Hadir sama, EXCO Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo dan Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Noor-Ihsan Che Mat.

Menerusi Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lalu, kerajaan akan menurunkan harga kondominium dan pangsapuri daripada RM1 juta kepada RM600,000 bagi pemilikan asing sebagai langkah mengurangkan lambakan hartanah yang gagal dijual.

Cadangan itu akan dilaksanakan selama setahun bermula Januari sehingga 31 Disember 2020 di kawasan bandar, membabitkan unit sedia ada yang tidak terjual.

Dalam pada itu, Zuraida menempelak kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang didakwa tidak memahami cadangan penurunan harga pemilikan hartanah kepada warga asing itu.

“Najib mungkin tidak faham, yang kita maksudkan adalah kepada rumah yang sudah siap dan bukannya rumah baru,” katanya.

Najib sebelum ini dilaporkan berkata, pengumuman kerajaan untuk menurunkan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar bagi tujuan pemilikan asing akan menyebabkan pemaju hartanah menaikkan harga kediaman pada masa akan datang.

Sementara itu, Jagdeep berkata kerajaan negeri akan menilai semula cadangan penurunan harga pemilikan hartanah asing yang diumumkan kerajaan pada Belanjawan 2020.

Katanya, ketika ini kerajaan negeri mengehadkan pembelian kediaman kepada warga asing di Pulau Pinang adalah RM3 juta bagi perumahan bertanah dan RM1 juta bagi unit kondominium.

“Kita akan berbincang dulu dengan semua pimpinan pada Mesyuarat EXCO minggu ini untuk kita teliti cadangan Kerajaan Pusat yang menurunkan had sehingga RM600,000 bagi pembelian hartanah asing,” katanya.

Berita Harian X