Isnin, 14 Oktober 2019 | 1:47pm

PTP perlu dibesarkan, hampiri kapasiti maksimum

JOHOR BAHRU: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) akan diperluaskan bagi menampung kapasiti sehingga 30 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) setahun menjelang 2030.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pada masa ini PTP hanya mampu menampung kapasiti sehingga 12.5 TEU setahun.

Katanya, PTP mencatat pertumbuhan kapasiti TEU antara lapan hingga sembilan peratus setahun.

“PTP semakin menghampiri tahap maksimum pengendaliannya apabila ia mencapai sembilan juta TEU setahun ketika ini dan perlu dibesarkan bagi menampung kapasiti lebih tinggi.

“Pembesaran kawasan pelabuhan, terutama PTP adalah penting kerana Malaysia mempunyai kelebihan strategik kerana kedudukannya terletak di Selat Melaka, antara laluan paling sibuk di dunia dan ia jadi kelebihan buat Malaysia untuk menjadi hab logistik utama di Asia Tenggara.

“Kerajaan amat komited dengan usaha pembesaran PTP dan akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar,Datuk Dr Sahruddin Jamal hari ini bagi membincangkan usaha ini, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Minggu Pelabuhan Lembaga Pelabuhan Johor 2019, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri; Pengerusi Lembaga Pelabuhan Johor, Rosnan Fathal, dan Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Johor, Muhammad Razif Ahmad.

Ditanya bila cadangan pembesaran PTP akan akan dilaksanakan, Loke berkata, ia akan dilakukan secara berperingkat dalam masa lima hingga 10 tahun ini sebaik mendapat persetujuan kerajaan Johor.

“Pihak PTP sebenarnya sudah beberapa kali membuat permohonan kepada kerajaan bagi memperbesarkan lagi pelabuhannya dan bagi kita sudah sampai masanya ia diperluaskan melihat kadar pertumbuhan pengendaliannya yang tinggi.

“Kos pembesaran PTP akan ditanggung pihak swasta yang juga konsesi pengendali pelabuhan berkenaan, ” katanya.

Berita Harian X