Ahad, 13 Oktober 2019 | 11:18pm

Nama baharu universiti akan diputuskan selepas perkenan Sultan Terengganu

KUALA TERENGGANU: Nama baharu universiti hasil penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hanya akan ditentukan selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Penyelidikan dan Antarabangsa), Prof Dr Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin, berkata perkara itu dinyatakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyediakan cadangan kerangka universiti baharu hasil penggabungan itu.

Katanya, Maszlee meminta jawatankuasa khas itu memberi idea serta mencipta beberapa nama yang bersesuaian susulan bantahan antara kedua-dua universiti terbabit yang sebolehnya tidak mahu menenggelamkan nama asal masing-masing.

“Ada cadangan supaya penggabungan ini tidak menyebabkan UMT ‘telan’ UniSZA atau UniSZA ‘telan’ UMT. Jadi, Menteri Pendidikan tegaskan bahawa ia tidak akan berlaku sedemikian,” katanya pada sesi soal-jawab bersama lebih 200 pelajar UMT dan UniSZA, di sini hari ini.

Berlangsung selama lebih tiga jam, sesi itu turut Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Siti HamisahTapsir dan ahli lembaga pengarah kedua-dua universiti.

Menjawab soalan seorang yang mempertikaikan penggabungan itu, Cairul Iqbal menjelaskan Kementerian Pendidikan hanya melaksanakan apa yang dihasratkan, namun tidak mustahil ia akan berubah jika berlaku sebarang keputusan lain oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Untuk mengubah keputusan Kabinet, ia bukanlah kami (jawatankuasa khas), tetapi pihak saudari (pelajar) menghantar memorandum kepada Perdana Menteri... beliau akan membuat keputusan. Jika Dr Mahathir kata untuk mengubah, kita akan bantu untuk ubah keputusan itu.

“Namun, jika tiada sebarang maklum balas, penggabungan ini akan kita teruskan. Ia jelas dan kehadiran kami di sini untuk mendengar apakah cadangan dan keluhan yang kita harap tidak berlaku apabila terlaksana penggabungan nanti,” katanya.

Sementara itu, Siti Hamisah berkata, kerajaan bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggabungan itu dan ia tidak sepatutnya menjadi perdebatan, sebaliknya perlu bersama menjayakan hasrat itu.

Beliau turut menegaskan kementerian bukan mahu menidakkan kehendak pelajar, sebaliknya akan mendengar serta mengambil kira pandangan untuk perhatian Kabinet. – BERNAMA

Berita Harian X