Jumaat, 11 Oktober 2019 | 7:18pm
Kerajaan menaikkan elaun sara hidup nelayan menerusi Belanjawan 2020 daripada RM200 sebulan kepada RM250 sebulan. - Foto hiasan

Kenaikan elaun sara hidup beri 'nafas' kepada nelayan

KOTA KINABALU: Keputusan kerajaan menaikkan elaun sara hidup nelayan menerusi Belanjawan 2020 daripada RM200 sebulan kepada RM250 sebulan mengurangkan bebanan golongan itu menyara keluarga terutama ketika musim tengkujuh.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Sabah (PENGASAH), Datuk Arsit Sedi, berkata tambahan sebanyak RM50 berbanding elaun sekarang memberi ‘nafas’ kepada nelayan untuk menampung keperluan keluarga apabila tidak turun ke laut.

Isu elaun sara hidup disuarakan nelayan sejak dua tahun lalu apabila diturunkan daripada RM300 sebulan kepada RM200 sebulan.

“Alhamdulillah, kerajaan prihatin dan mengambil kira keperitan golongan nelayan. Biarpun ia jumlah yang paling minimum (dengan penambahan RM50), kita berasa lega dan boleh bernafas sedikit kerana tambahan itu membolehkan nelayan membeli keperluan asas.

“Sejak dua tahun lalu apabila elaun diturunkan, kita merayu kepada kerajaan dan akhirnya rintihan nelayan didengar,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Arsit berkata, ada lebih 5,000 nelayan di Sabah yang layak mendapatkan elaun sara hidup bakal menerima manfaat daripada kenaikan itu.

Katanya, pihaknya juga sedang mencari kaedah bagi membantu golongan nelayan meningkatkan hasil terutama apabila musim tengkujuh atau bencana yang menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan kegiatan menangkap ikan.

“Kita dalam proses untuk bekerjasama dengan Korperasi Kemajuan Nelayan dan Perikanan Sabah (Ko-Nelayan) untuk mencari kaedah menggabungkan nelayan bagi mewujudkan projek ternakan ikan dalam sangkar.

“Kaedah ini mungkin memerlukan kos yang tinggi, namun kita akan lakukan secara kecil-kecilan dulu untuk membantu nelayan,” katanya.

Bagi Pengerusi Petani Organik Kampung Tambatuon, Kota Belud, Magret Darusin, beliau menyifatkan peruntukan input padi sebanyak RM855 juta bagi 2020 sebagai suatu yang baik dan berharap penanam padi di kampung itu turut menikmati peruntukan berkenaan.

Beliau bagaimanapun berharap peruntukan kerajaan sebanyak RM43 juta ke arah pembangunan Industri Pertanian 4.0 bagi membangunkan baka yang berkualiti dan berproduktiviti tinggi turut membabitkan penanaman padi secara organik.

“Sebagai penanam padi secara organik, kami berharap ada juga peruntukan untuk kami dalam usaha meningkatkan pengeluaran padi yang ditanam secara organik. Ini kerana tanaman padi secara organik adalah baik untuk kesihatan,” katanya.

Kampung Tambatuon mempunyai 92 penanam padi dengan 23 daripadanya menanam padi secara organik.

Berita Harian X