Jumaat, 11 Oktober 2019 | 6:38pm

KWSP: Pengeluaran untuk rawatan kesuburan

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan kategori pengeluaran baharu kepada pasangan yang menjalani rawatan kesuburan seperti in-vitro fertilisation (IVF).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 bertemakan Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama berkata pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000, yang diberikan ke atas perbelanjaan rawatan perubatan untuk penyakit serius, akan diperluaskan untuk merangkumi kos rawatan kesuburan.

“Hari ini kadar kesuburan di Malaysia menurun dengan ketara daripada 4.9 bayi pada tahun 70-an kepada 1.9 bayi bagi setiap wanita, iaitu di bawah paras penggantian,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Guan Eng berkata mulai Januari tahun depan, MySalam iaitu skim perlindungan kesihatan takaful percuma, dipanjangkan kepada perlindungan ke atas45 penyakit kritikal, termasuk penyakit terminal dan polio, berbanding hanya 36 penyakit sedia ada.

Guan Eng berkata MySalam turut memanfaatkan kepada individu yang mempunyai pendapatan kasar tahunan sehingga RM100,000. Mereka akan menerima bayaran penyakit kritikal sebanyak RM4,000 dan bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari, apabila didiagnos dan dimasukkan ke hospital kerajaan.

“Ia juga diperluaskan kepada individu yang berumur sehingga 65 tahun berbanding dengan 55 tahun sekarang, yang akan memberi manfaat tambahan kepada 1.5 juta individu,” katanya.

Dalam pada itu Guan Eng berkata kerajaan akan memperluaskan Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) kepada individu yang berumur 40 tahun dan ke atas mulai tahun depan.

Jelasnya setakat ini, 100,000 individu memperoleh manfaat daripada inisiatif itu yang menyediakan pemeriksaan dan intervensi awal, bagi mengesan penyakit tidak berjangkit, seperti kesihatan mental dan kanser untuk mereka berusia antara 50 tahun hingga 60 tahun. – BERNAMA

Berita Harian X