Jumaat, 11 Oktober 2019 | 5:51pm
Orang awam menonton siaran langsung pembentangan belanjawan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di kedai perkakas elektrik di Chow Kit, Kuala Lumpur. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli
Orang awam menonton siaran langsung pembentangan belanjawan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di kedai perkakas elektrik di Chow Kit, Kuala Lumpur. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Inisiatif #MalaysiaKerja wujud 350,000 peluang pekerjaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melancarkan inisiatif #MalaysiaKerja (Malaysians@Work) bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk belia dan wanita, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.

Secara keseluruhan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6.5 bilion dalam tempoh lima tahun yang akan datang untuk melaksanakan inisiatif berkenaan.

Kerajaan menjangkakan program MalaysiaKerja akan mewujudkan tambahan peluang pekerjaan sebanyak 350,000 untuk rakyat dalam masa lima tahun.

Malaysia@Kerja dibahagikan kepada empat program yang disasarkan kepada pekerja dan majikan dengan menyediakan pelbagai insentif iaitu;

1. #GraduanKerja (Graduates@Work) direka khusus untuk pengambilan graduan yang menganggur melebihi 12 bulan. Graduan yang menerima tawaran kerja akan menerima insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan sebagai tambahan kepada gaji yang diterima manakala majikan pula menerima insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan bagi tempoh yang sama;

2. #WanitaKerja (Women@Work) bertujuan mewujudkan 33,000 peluang pekerjaan setahun untuk wanita berusia di antara 30 hingga 50 tahun yang telah berhenti bekerja selama setahun atau lebih.

Wanita yang kembali bekerja akan diberi insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan, manakala majikan pula akan diberi insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan dalam bagi tempoh yang sama. Sebagai tambahan, pengecualian cukai pendapatan bagi wanita yang kembali bekerja akan dilanjutkan empat tahun lagi sehingga tahun 2023;

3. #WatanKerja (Locals@Work) adalah program kesamarataan kos pengambilan pekerja yang bertujuan mengalihkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.

Warganegara yang menggantikan pekerja asing akan diberikan insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM350 atau RM500 sebulan mengikut sektor manakala, majikan pula akan menerima insentif pengambilan sebanyak RM250 sebulan dalam tempoh yang sama; dan

4. #PerantisKerja (Apprentice@Work) adalah program insentif Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bentuk elaun tambahan sebanyak RM100 sebulan untuk pelajar dalam kursus TVET bertujuan menggalakkan lebih ramai belia menyertai kursus TVET.

Melalui program ini, kerajaan akan melanjutkan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan yang dilakukan oleh syarikat yang menyertai Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) bagi tempoh dua tahun lagi.

Sebagai tambahan, potongan cukai dua kali yang telah diberikan kepada syarikat yang melaksanakan Program Internship Berstruktur (SIP) yang diluluskan oleh TalentCorp bagi pelajar yang mengikuti bidang kejuruteraan dan teknologi akan diperluaskan kepada semua bidang akademik yang lain.

Melalui program #MalaysiaKerja, warga Malaysia yang menganggur akan menguasai kemahiran dan kecekapan yang diperlukan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan dengan syarikat yang relevan serta peratusan pengekalan pekerja selepas tempoh dua tahun insentif tamat adalah melebihi 90 peratus.

Langkah itu bagi membina modal insan dalam kalangan penganggur untuk menjadi pekerja yang berdikari dan menyumbang secara produktif kepada pasaran buruh.

Inisiatif #MalaysiaKerja ini akan diuruskan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang mana insentif gaji itu akan dikreditkan ke dalam akaun KWSP kecuali bagi program #PerantisKerja.

Inisiatif ini juga akan diintegrasikan dengan Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) serta program pasaran buruh aktif yang lain.

Berita Harian X