Khamis, 10 Oktober 2019 | 1:20pm

Jho Low tiada di AS - KPN

GEORGETOWN: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menafikan laporan sebuah portal berita Amerika Syarikat (AS) yang mendakwa ahli perniagaan paling dikehendaki, Low Taek Jho atau Jho Low berada di negara itu.

Abdul Hamid berkata, Jho Low tidak berada di AS, sebaliknya mendapat perlindungan di sebuah negara dan proses rundingan untuk membawanya pulang masih berjalan dengan pihak berkuasa di sana.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih memberikan masa kepada mereka mematuhi semangat kerjasama dalam hal kepolisan supaya rundingan itu kelak mencapai kata sepakat, seterusnya membawa pulang Jho Low ke Malaysia untuk diadili.

“Secara logiknya, kawalan keselamatan di AS sama ada di laut, udara mahu pun darat begitu ketat sekali, jadi saya tidak jangka Jho Low selicik itu untuk menyelinap masuk (ke AS).

“Jika ia berlaku di bawah hidung pihak berkuasa AS, ia amat memalukan, tetapi saya percaya ia tidak begitu.

“Dia masih berada di sana, di tempat yang saya selalu sebutkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Pasukan Polis Marin ke-72 di Markas Pasukan Marin Wilayah Satu, Batu Uban, di sini, hari ini.

Pada 28 September lalu, portal berpangkalan di AS, Page Six melaporkan Jho Low yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mungkin berada di negara itu.

Ini berikutan sumber memaklumkan portal terbabit mendakwa melihat kelibat individu seperti Jho Low menghadiri parti makan malam tertutup di kediaman seorang penerbit di Hollywood Hills.

Sebelum ini, Abdul Hamid memberitahu polis berharap dapat membawa Jho Low ke negara ini, selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Abdul Hamid berucap pada sambutan Hari Pasukan Polis Marin ke-72 di Markas Pasukan Marin Wilayah Satu, Batu Uban, hari ini. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal
Abdul Hamid memeriksa barisan sempena sambutan Hari Pasukan Polis Marin ke-72 di Markas Pasukan Marin Wilayah Satu, Batu Uban, hari ini. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal
Berita Harian X