Khamis, 10 Oktober 2019 | 1:10pm

Belanjawan 2020, rakyat mahu inisiatif kurang beban kos sara hidup

PUTRAJAYA: Inisiatif bagi mengurangkan beban kos sara hidup, lebih peluang meningkatkan taraf hidup dan bantuan apabila dilanda musibah menjadi antara perkara dimahukan rakyat pada Belanjawan 2020.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata, maklumat itu diperoleh hasil kaji selidik dalam talian dijalankan membabitkan lebih 7,000 responden dalam kalangan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, peringkat umur dan lokasi.

Bagi golongan belia pula, responden mendesak kerajaan memudahcarakan peluang pekerjaan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET), menyediakan insentif untuk pelatih dan perantis membina peluang menimba pengalaman bekerja serta penambahbaikan program pembangunan kemahiran dan insan.

“Majoriti responden mahu kerajaan memperbanyakkan lagi inisiatif untuk menyokong golongan kurang bernasib baik.

“Selain itu, kerajaan perlu memastikan pembangunan seimbang untuk semua negeri dan menyediakan peluang sama rata untuk semua tanpa mengira kaum dan kepercayaan agama untuk mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

“Susulan itu, WKB perlu berpandukan pertumbuhan ekonomi supaya dapat menjana kemakmuran untuk dikongsikan bersama,” katanya.

Kenyataan itu menyebut, kerajaan sudah meneliti dan mengambil perhatian terhadap maklum balas disampaikan rakyat menerusi kajian ini dan juga daripada sesi libat urus dilakukan menjelang Belanjawan 2020.

Katanya, Kementerian Kewangan sudah menjalankan 12 konsultasi kumpulan fokus di pelbagai lokasi di seluruh negara bersama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Pada tahun lalu, Belanjawan 2019 memperuntukkan RM259.8 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM54.7 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Belanjawan 2020 adalah belanjawan kedua Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan akan dibentangkan Menteri Kewangan di Parlimen esok.

Pembentangan itu akan disiarkan secara langsung menerusi siaran media massa dan saluran media sosial rasmi Kementerian Kewangan di laman Facebook serta Twitter.

Berita Harian X