Khamis, 10 Oktober 2019 | 12:12pm
MENTERI Sumber Manusia, M Kulasegaran. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Liputan PERKESO sektor kerja informal akan diperluas

KUALA LUMPUR: Seramai 55,049 pemandu teksi, e-hailing, Grab dan bas persendirian mendaftar serta mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setakat semalam.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata daripada jumlah itu, seramai 184 pemandu teksi menerima faedah di bawah Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri membabitkan bayaran sebanyak RM531,445.

"Objektif utama kerajaan menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) bermula 1 Jun 2017 ialah untuk memberi perlindungan keselamatan sosial kepada golongan bekerja sendiri dalam sektor informal.

"Akta ini memberi perlindungan kepada semua pemandu teksi, e-hailing dan pemandu Grab yang bekerja sendiri dan bermula 1 Februari lalu, skim ini diperluaskan kepada pemandu bas persendirian," katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-DAP Bukit Bendera) mengenai sejauh mana pencapaian objektif dalam Akta 789.

Kerajaan bercadang memperluaskan liputan akta itu kepada semua sektor informal lain seperti perikanan, penggiat seni, perniagaan milikan tunggal dan perkongsian termasuk peniaga kecil serta pertanian secara berperingkat.

Ketika ini kementerian sedang di peringkat akhir menggubal mekanisme pelaksanaan akta itu dan dijangka dapat dilaksanakan pada tahun depan.

Berita Harian X