Khamis, 10 Oktober 2019 | 9:00am

Kekang pembuangan haram di perairan

KUALA LUMPUR: Pembuangan haram sisa bahan kimia oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di kawasan tidak sepatutnya memberikan pelbagai implikasi buruk, bukan saja kepada kesihatan tetapi turut membabitkan ekosistem alam sekitar.

Perbuatan tidak bertanggungjawab oleh penjenayah terhadap alam sekitar ini turut memberi kesan kepada kerajaan, terutamanya dalam mengeluarkan kos untuk proses pembersihan yang menelan belanja jutaan ringgit.

Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK), melihat keadaan ini getir kerana bimbang berlaku situasi tidak diingini dalam menyalurkan air bersih kepada pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, IWK bertanggungjawab menjalankan operasi dan penyelenggaraan kepada hampir 7,000 loji rawatan air sisa kumbahan berserta lebih daripada 19,400 kilometer panjang paip pembetungan untuk manfaat kepada 26 juta penduduk secara setara.

Katanya, loji ini direka bentuk untuk merawat hanya air sisa domestik tetapi tidak dapat dibayangkan apa akan berlaku, sekiranya bahan asing memasuki loji yang akhirnya merosakkan kitaran air semula jadi ini.

“Pengguna mungkin tidak sedar ia sudah tercemar teruk dan akhirnya, keadaan itu tidak dapat diselamatkan lagi.

“Namun, IWK mengambil tanggungjawab besar apabila pengurusan sistem pembetungan yang efisien, memberikan impak besar kepada masyarakat.

“Kita tidak boleh memandang ringan insiden yang berlaku kerana ia mendatangkan bahaya kepada kehidupan kita. Ia adalah satu perbuatan jenayah berat kerana membahayakan kesihatan awam dan kelangsungan hidup generasi akan datang,” katanya.

Malah, sejak beberapa bulan ini terdapat beberapa laporan akhbar yang memaparkan berita mengenai tindakan tidak bertanggungjawab oleh penjenayah kepada alam sekitar di negara ini.

Antaranya ialah pencemaran Sungai Kim Kim di Johor yang memberi kesan kepada 6,000 mangsa dan membabitkan kos pembersihan sebanyak RM6.4 juta.

Terkini, kes pencemaran teruk di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih yang menimbulkan kacau ganggu kepada orang ramai akibat perlakuan segelintir individu dan pihak terbabit ke atas alam sekitar.

Hasil siasatan didapati, sejenis bau pelarut di dalam lurang pembetungan. Bahan itu mengalir masuk ke dalam loji rawatan kumbahan Bandar Mahkota selenggaraan IWK

Narendran berkata, akibat pencemaran itu IWK mengambil tindakan pantas dengan menghentikan tugas operasi di loji Bandar Mahkota dengan mengambil kira kemampuan kapasiti sedia ada di dalam loji bagi menghalang bahan larutan mengalir masuk ke Sungai Semenyih.

“Selain itu, dalam kes berasingan pada Julai lalu, lapisan tebal minyak memasuki loji IWK di Batang Kali dan ia dicuci dengan segera sebaik saja dikesan. Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) juga sudah menjalankan siasatan dan mendapati minyak hitam itu dipercayai, dibuang secara haram daripada kawasan industri berhampiran loji IWK.

“Apabila bahan terlarang dibuang secara haram dan memasuki loji, ia akan memaksa operasi loji ditutup. Sebaliknya, jika air yang dilepaskan dari loji mengandungi bahan terlarang memasuki sistem air, ia akan membahayakan kesihatan dan kehidupan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai penguatkuasaan dan perundangan alam sekitar dilakukan, antaranya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 61(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 20016 (Akta 655) yang boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Narendran berkata, Pengerusi SPAN, Charles Santiago, sebelum ini, turut menyuarakan agar penguatkuasaan dan penalti yang tegas perlu untuk memelihara kebersihan dan kualiti bekalan air.

“Kerajaan menerusi Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) juga mengemukakan cadangan mereka untuk Akta Kualiti Alam 1974 (EQA 1974), seperti di laman web Kementerian pada Mei 2019, antaranya mewujudkan Majlis Perlindungan Alam Sekitar manakala pemberi maklumat akan diberikan ganjaran setimpal untuk maklumat dan bantuan mereka dalam mengesan jenayah yang berlaku serta sebagai saksi perbicaraan.

“Justeru, IWK berharap, kementerian akan mengambil pendirian tegas dalam mengekang isu ini dan kita juga harus melihat perbuatan tidak bertanggungjawab mereka ini sebagai sesuatu yang serius.

“Jenayah kejam oleh mereka ini boleh menjejaskan kesihatan awam dan alam sekitar sekiranya mereka boleh melepaskan diri tanpa sebarang hukuman,” katanya.

Sejajar dengan itu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar juga berhasrat untuk mengkaji semula perundangan bagi meningkatkan perlindungan sumber air di Malaysia agar penguatkuasaan lebih tegas dapat diambil apabila bertindak ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab mencemarkan sumber air kita.

Xavier menyatakan, antara undang-undang yang terbabit ialah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan sekiranya semua siap sedia pihak kementerian akan membentangkannya di Parlimen pada penghujung tahun hadapan.

Pada masa sama, IWK turut menggesa kerajaan untuk melaksanakan langkah penguatkuasaan dan hukuman tegas, agar alam sekitar terpelihara serta mampan untuk kehidupan semua rakyat Malaysia.

IWK menyeru orang ramai untuk turut bekerjasama melaporkan sebarang perlakuan atau insiden yang menimbulkan syak dengan menghubungi pihak berkuasa atau IWK seperti di dalam laman web, https://www.iwk.com.my/contact/customer-services-centres.

tamat-

Berita Harian X