Rabu, 9 Oktober 2019 | 11:57am
Menteri Penddikan, Dr Maszlee Malik. - NSTP/Aizuddin Saad

Dua mekanisme pelaksanaan sarapan percuma tahun depan

KUALA LUMPUR: Program Sarapan Percuma (PSP) untuk murid sekolah rendah bermula tahun depan, dilaksanakan menerusi dua mekanisme membabitkan peruntukan antara RM800 juta hingga RM1.67 bilion.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata dua mekanisme itu adalah pelaksanaan PSP selama 30 minit bagi kombinasi makanan bermasak dan buah-buahan serta 10 minit bagi produk minuman tenusu, bijirin, roti dan telur rebus.

Seramai 2,691,231 murid sekolah rendah di seluruh negara bakal mendapat manfaat menerusi pelaksanaan program terbabit.

"Menerusi program rintis yang dilaksanakan di tujuh sekolah termasuk di kawasan pedalaman sejak September lalu hingga November ini sebagai panduan, kementerian menggunapakai dua mekanisme dalam melaksanakan PSP.

"Senarai menu PSP juga dibangunkan bersama dengan kepakaran pihak Kementerian Kesihatan dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi memenuhi khasiat diperlukan murid," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Sabri Azit (PAS-Jerai) berhubung mekanisme pelaksanaan PSP untuk murid sekolah rendah bermula tahun depan.

Maszlee berkata, waktu pemberian sarapan adalah sebelum jam 8.30 pagi bagi persekolahan sesi pagi dan sebelum jam 4 petang bagi sesi petang selain dijadualkan secara berperingkat mengikut kesesuaian sekolah.

"Guru akan bersarapan sekali dengan murid di samping mengambil peluang mendidik mengenai khasiat makanan serta adab pemakanan manakala lokasi makanan murid akan dipelbagaikan bagi memberi masa kepada murid mencuci peralatan makanan masing-masing.

"Ini juga termasuk sebahagian daripada pendidikan sivik yang ingin diterapkan kementerian selain elemen pendidikan kesihatan dengan mengamalkan pengambilan sarapan berkhasiat dan sihat," katanya.

Guru yang bertugas dalam tempoh PSP turut diberikan sarapan percuma supaya dapat makan bersama murid.

"PSP adalah hadiah Kerajaan Pusat kepada rakyat. Kita mengambil berat mengenai nutrisi dan sebab itu bimbingan daripada Kementerian Kesihatan menjadi panduan kepada kami," katanya.

Berita Harian X