Rabu, 9 Oktober 2019 | 10:22am
German-Malaysian Institute (GMI) menawarkan latihan selama tiga tahun dengan tumpuan kepada aspek teknikal, berbanding teori menjadikan graduan dari institusi itu mempunyai kebolehpasaran tinggi dan mudah melanjutkan pengajian ke luar negara.

GMI tumpu aspek teknikal

KUALA LUMPUR: German-Malaysian Institute (GMI) menawarkan latihan selama tiga tahun dengan tumpuan kepada aspek teknikal, berbanding teori menjadikan graduan dari institusi itu mempunyai kebolehpasaran tinggi dan mudah melanjutkan pengajian ke luar negara.

GMI yang mengaplikasi sistem German Dual Vocational Training (GDVT) dengan tumpuan kira-kira 75 peratus latihan praktikal, berbanding 25 peratus teori.

Bahagian Komunikasi Korporat GMI berkata, sejak 1992 hingga tahun lalu, GMI melahirkan 11,421 graduan yang kini sebahagian besarnya berjaya dalam kerjaya masing-masing.

Tahun ini, 557 pelajar akan menamatkan latihan dan majlis diadakan pada pertengahan bulan depan di GMI, Kajang, Selangor.

Program ditawarkan mencakupi seni, reka bentuk dan multimedia, teknologi komputer, teknologi kejuruteraan dan pra-universiti swasta.

Institusi itu mengamalkan kerangka pendidikan dengan latihan teknikal mengikut acuan negara Jerman yang menyediakan pelajar dengan kelebihan dalam kemahiran yang unik.

Program ditawarkan mencakupi teknologi kejuruteraan yang memberi pendedahan kepada pembangunan kompetensi pekerjaan dengan pembelajaran yang berteraskan persediaan memasuki dunia pekerjaan.

Keperluan industri bertepatan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) menjadikan graduan memenuhi kehendak industri atau pasaran pekerjaan semasa.

Semua program yang ditawarkan GMI ialah ‘homegrown’ atau diwujudkan berpandukan maklum balas dan kerjasama strategik dengan wakil industri dalam dan luar negara, khususnya dari Jerman.

Pelajar yang melanjutkan pengajian ke GMI berpeluang menyambung pengajian ke universiti di Jerman, Australia dan United Kingdom (UK).

Institusi itu dianugerahkan penarafan lima bintang dalam Sistem Penilaian Kualiti Malaysia untuk Kolej Swasta (MYQUEST) untuk 2012/2013 dan 2014/2015.

Berita Harian X