Isnin, 7 Oktober 2019 | 11:29am

Kerajaan akan guna MPI ukur kadar kemiskinan

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mengguna pakai Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) sebagai kaedah untuk mengukur dan memantau kadar kemiskinan di negara ini.

Perdana Menteri berkata Malaysia sebenarnya hampir dapat menghapuskan kemiskinan jika dikira berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang digunakan sebelum ini, namun keadaan pada masa ini sudah berubah.

“Sekarang kita dapati bukan saja pendapatan yang menentukan (tahap) kemiskinan seseorang tetapi (kini ia turut merangkumi) segala layanan, kemudahan dan bantuan yang diberikan kepada mereka.

“Kita bercadang, untuk mengurangkan kemiskinan, maka kita perlu tentukan keupayaan mereka memperoleh pendapatan yang cukup untuk membeli tiga perkara iaitu makanan, pakaian dan bumbung di atas kepala mereka (kediaman). Ini akan tentukan satu kelompok miskin atau tidak.

“Ini akan termasuk dalam perkiraan asas baharu iaitu yang dikatakan sebagai MPI. Ini akan digunakan sekarang dan akan tunjukkan taraf kemiskinan yang terdapat dalam masyarakat kita di Malaysia,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang bertanya apakah perakuan mengenai garis kemiskinan negara akan menuntut kerajaan memberi tumpuan lebih besar dalam menyelesaikan masalah kemiskinan, yang dapat ditentukan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Belanjawan 2020.

Menjawab soalan asal Anwar mengenai langkah yang diambil kerajaan berkenaan laporan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Prof Philip Alston terhadap kadar kemiskinan negara yang kian meruncing, Dr Mahathir berkata, kerajaan mengambil maklum laporan itu.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, angka kadar kemiskinan rasmi di Malaysia dikira berdasarkan cerapan data Tinjauan Pendapatan Isi Rumah (HIS), yang dilakukan mengikut piawaian amalan antarabangsa yang diselenggara oleh Bahagian Statistik PBB.

"Perangkaan kemiskinan daripada HIS masih relevan dan boleh dipercayai pada peringkat penilaian makro, namun pada peringkat yang lebih mikro seperti negeri atau daerah, perangkaan HIS perlu diguna secara berhati-hati kerana ia tidak menggambarkan corak penggunaan, keperluan serta demografi sebenar isi rumah berikutan ralat persampelan yang tidak boleh dielakkan.

"Menyedari hakikat ini, kerajaan sebenarnya sudah memulakan kajian semula PGK sejak Mac 2019. Pelaksanaan kajian ini sedang giat dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia serta jabatan dan agensi berkaitan.

"Saya juga sudah mengarahkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi agar meneliti laporan oleh Pelapor Khas PBB itu," katanya.

Dr Mahathir berkata, kerajaan memperkenalkan MPI dalam Kajian Separuh Penggal RMK-11 sebagai pelengkap kepada PGK, yang dilihat lebih inklusif selaras dengan amalan antarabangsa, selain bersedia untuk menyemak semula PGK bagi memberi gambaran sebenar isu kemiskinan di Malaysia.

"Bagaimanapun, apa yang lebih penting adalah usaha pembasmian kemiskinan dilaksanakan secara berterusan dan efektif. Antara usaha yang sudah dan sedang dilaksanakan kerajaan adalah dengan mengemaskini dan menambah baik sistem eKasih yang menjadi pangkalan data kemiskinan nasional.

"eKasih akan turut mengambil kira bilangan ahli dan keperluan isi rumah supaya pemberian bantuan menepati keperluan dan kumpulan sasar. Mekanisme pengumpulan data dan formulasi strategi juga akan ditambah baik dengan memanfaatkan perkembangan teknologi terkini," katanya.

Dr Mahathir berkata, strategi utama kerajaan dalam membasmi kemiskinan adalah melalui usaha meningkatkan pendapatan dan kuasa beli rakyat terutama dalam kalangan isi rumah miskin dan berpendapatan rendah.

"Antara bantuan kepada kumpulan sasar ini termasuk Bantuan Sara Hidup, kemudahan pemilikan perumahan, akses kepada pendidikan dan kesihatan yang berkualiti.

"Usaha ini akan dapat memastikan setiap isi rumah diberi perhatian sewajarnya sejajar dengan konsep pembangunan inklusif Wawasan Kemakmuran Bersama 2030," katanya.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) sama ada MPI akan mengambil kira demografi bandar dan luar bandar terutama membabitkan golongan muda yang berdepan masalah pengangguran, Dr Mahathir berkata, matlamat kerajaan adalah mengurangkan perbezaan bandar dan luar bandar.

"Tumpuan akan diberikan kepada luar bandar kerana mereka (di luar bandar) sukar menikmati dan menggunakan peluang yang diberikan kepada mereka tanpa latihan dan pengalaman," katanya.

Selain itu, menjawab soalan tambahan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) mengenai gambaran bagaimana Belanjawan 2020 nanti akan membantu kerajaan membasmi kemiskinan, Dr Mahathir berkata, disebabkan ada negeri yang mempunyai kurang pendapatan, beliau yakin agihan peruntukan akan lebih tertumpu kepada negeri yang di mana kadar kemiskinannya ketara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X