Ahad, 6 Oktober 2019 | 8:06pm
Mohamad Razif (kanan) menyampaikan ceramah bertajuk ‘Pengaruh Negatif Media Sosial Terhadap Perubahan Akhlak Dalam Konteks Menyantuni Ummah’ sempena KIICT peringkat negeri Terengganu 2019 di perkarangan Terengganu Digital Hub. - NSTP/Ghazali Kori
Mohamad Razif (kanan) menyampaikan ceramah bertajuk ‘Pengaruh Negatif Media Sosial Terhadap Perubahan Akhlak Dalam Konteks Menyantuni Ummah’ sempena KIICT peringkat negeri Terengganu 2019 di perkarangan Terengganu Digital Hub. - NSTP/Ghazali Kori

Ilmu untuk elak terpedaya dengan media sosial

KUALA TERENGGANU: Pengguna media sosial perlu memiliki ilmu supaya penggunaannya membawa kepada kebaikan dan memberi faedah.

Ketua Unit Konsultasi Akidah, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Mohamad Razif Mohamad Fuad, berkata ia kerana penggunaan media sosial adalah terbuka dan memberi kebebasan kepada penggunanya untuk memilih sama ada untuk tujuan baik atau buruk.

Katanya, ilmu itu ialah untuk memastikan media sosial tidak menguasai kehidupan seseorang.

Beliau berkata penggunaan media sosial untuk tujuan kebaikan akan memberi manfaat kepada penggunanya, namun mendatangkan mudarat sekiranya digunakan bagi tujuan keburukan dan kejahatan.

“Dalam kita berinteraksi dengan media sosial, banyak ruang keburukan namun pada masa yang sama ruang kebaikan juga banyak. Namun, sekiranya tersilap pilih jalan ia boleh membawa kepada keburukan.

“Banyak isu yang berlaku di sekeliling kini berpunca daripada pengaruh media sosial seperti isu keruntuhan rumah tangga dan juga pergaduhan sesama jiran tetangga.

“Justeru, penting untuk kita menanganinya supaya penggunaannya (media sosial) tidak membawa kepada kemudaratan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi bicara bertajuk ‘Pengaruh Negatif Media Sosial Terhadap Perubahan Akhlak Dalam Konteks Menyantuni Ummah’ sempena Karnival Inovasi ICT (KIICT) peringkat negeri Terengganu 2019 di perkarangan Terengganu Digital Hub (TD1303), di sini, hari ini.

KIICT2019 yang berlangsung tiga hari bermula hari ini sehingga Selasa mulai jam 10 pagi hingga 10 malam adalah anjuran Kerajaan Terengganu melalui Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat dengan kerjasama Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu dan TD1303.

Karnival berkenaan adalah platform terbaik bagi pengunjung mendapat manfaat dan kesedaran mengenai perkembangan teknologi ICT semasa serta memberi peluang untuk mengikuti bengkel dan seminar yang ditawarkan secara percuma.

Antara agensi yang akan mengambil bahagian adalah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mohamad Razif berkata, penting juga pengguna untuk menapis dan menyelidik terlebih dahulu maklumat diterima ketika berinteraksi dalam media sosial selain merujuk pihak tertentu atau sepatutnya bagi mendapatkan maklumat yang sahih.

Katanya, masyarakat perlu menyedari, sekiranya menyebarkan perkara daripada sumber yang tidak berasas boleh membawa kepada fitnah.

“Dalam setiap perkara, tentu ada pihak yang lebih pakar yang boleh menjadi rujukan. Jadi sekiranya mendapat maklumat yang kurang sahih, wajar untuk kita menyelidik dan membuat rujukan.

“Sekiranya berasakan maklumat yang diperoleh tidak mempunyai asas kukuh, lebih baik elakkan diri daripada menyebarkannya kerana boleh membawa kepada fitnah,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya penggunaan media sosial tidak digunakan secara berhemah, medium berkenaan sekadar alat yang boleh menambah lagi masalah.

“Ramai orang sekarang turut menjadikan media sosial sebagai ruang untuk meluahkan masalah dan perasaan. Malah ditambah lagi dengan warganet yang menulis komen masing-masing, ia bukannya boleh menyelesaikan masalah tapi menambah masalah.

“Sebaiknya, setiap masalah itu disalurkan kepada saluran yang tepat supaya masalah itu dapat diselesaikan,” katanya.

Berita Harian X