Ahad, 6 Oktober 2019 | 7:56pm
Sebahagian pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Berang yang menyertai Karnival Inovasi ICT Terengganu (KIICT) di Terengganu Digital Hub. - NSTP/Ghazali Kori
Sebahagian pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Berang yang menyertai Karnival Inovasi ICT Terengganu (KIICT) di Terengganu Digital Hub. - NSTP/Ghazali Kori

KIICT dedah peserta kepada risiko media sosial

KUALA TERENGGANU: Program dan aktiviti yang dijalankan sepanjang Karnival Inovasi ICT (KIICT) peringkat negeri Terengganu 2019 bermula hari ini hingga Selasa banyak memberi manfaat kepada pengunjung.

Bengkel dan ceramah yang diadakan memberi pendedahan kepada peserta untuk berinteraksi secara berhati-hati dalam media sosial selain menggunakan perkembangan teknologi yang ada hari ini untuk tujuan kebaikan.

Selain itu, aktiviti yang dijalankan juga secara tidak langsung merangsang minda pengunjung untuk menjadi lebih kreatif.

Pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu (YT), Kuala Berang, Nur Alisya Batrisyia Mohd Iruan, 13, berkata banyak ceramah dan pendedahan yang diberikan mengenai pengaruh media sosial membantunya untuk lebih berhati-hati terhadap penggunaannya.

“Saya sedar banyak keburukan media sosial sekiranya disalahgunakan selain boleh mendedahkan pengguna kepada isu keselamatan jika kita terlalu mudah mempercayainya.

“Ia membuatkan pengguna perlu lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan media sosial.

“Selain itu, aktiviti yang disediakan pada karnival ini juga menarik kerana ia mampu merangsang minda menjadi lebih kreatif.

“Kita juga berupaya menghasilkan sesuatu inovasi seterusnya dapat memberi manfaat kepada orang ramai,” katanya.

Guru SM Imtiaz YT, Kuala Berang, Norfatin Farha Safie, pula berkata pelajar di alaf 21 sememangnya perlu didedahkan dengan perkembangan teknologi dan inovasi.

Katanya, program sebegini perlu diperluaskan supaya pelajar dan orang ramai mendapat manfaatnya.

“Selain daripada proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah, pelajar juga perlu didedahkan terhadap aktiviti luar bilik darjah. Jadi karnival sebegini penting dalam membantu pelajar untuk memperluaskan lagi pengetahuan,” katanya.

Sementara itu, Pembantu ICT, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT), Syafini Marzuki, 35, berkata peserta yang mengikuti bengkel yang dijalankan perlu mengambil manfaatnya apatah lagi dijalankan secara percuma.

“Selalunya bengkel berkaitan ICT sebegini diadakan secara berbayar namun apabila dianjurkan secara percuma, orang ramai perlu mengambil peluang untuk menyertainya dan mendapat ilmu yang disampaikan oleh profesional.

“Ia juga secara tidak langsung memperluaskan lagi maklumat dan pengetahuan saya dalam bidang ICT ini seiring dengan perkembangan semasa,” katanya.

Berita Harian X