Khamis, 3 Oktober 2019 | 4:28pm
Lam Thye (tengah) bersama guru dan murid selepas majlis penyerahan kerusi dan meja kepada SJKC Yu Hua di Kajang, hari ini. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Lam Thye (tengah) bersama guru dan murid selepas majlis penyerahan kerusi dan meja kepada SJKC Yu Hua di Kajang, hari ini. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Yayasan Eco World perkukuh komitmen bantu pelajar

KAJANG: Yayasan Eco World komited untuk terus membantu proses pembelajaran pelajar kurang bernasib baik di seluruh negara tanpa mengira latar belakang, agama atau kaum.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata iltizam itu dilaksanakan menerusi Program Bantuan Pelajar Miskin (SAP) dalam usaha memastikan golongan sasar mendapat bantuan sewajarnya.

“Dengan bajet RM5 juta setahun, yayasan ketika ini membantu 3,000 pelajar di seluruh negara merangkumi Kuala Lumpur, Selangor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Johor dan Sabah.

“Yayasan menyediakan keperluan kelengkapan persekolahan baharu seperti pakaian seragam, kasut, pembayaran makanan di kantin jika perlu, tidak melebihi RM1,400 setahun bagi setiap pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kerusi dan meja kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Hua di sini, hari ini.

Hadir sama Pemegang Amanah Yayasan Eco World, Philip Mathews; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Eco World, Kapten (B) Datuk Liew Siong Sing dan Guru Besar SJKC Yu Hua, Wong See Lee.

Yayasan Eco Worlld menyerahkan 150 set meja dan kerusi baharu kepada sekolah berkenaan, membabitkan sumbangan bernilai RM16,500.

Lam Thye berkata, bantuan disalur selepas menerima permohonan daripada sekolah dua sesi yang mempunyai 2,800 murid itu pada Mei lalu manakala perabot berkenaan dihantar ke sekolah tiga bulan berikutnya.

“Sepanjang Yayasan Eco World ditubuhkan, sejumlah RM827,000 dibelanjakan bagi membantu mengganti perabot sekolah yang rosak di kelas, kantin dan pusat sumber.

“Kita mementingkan pendidikan dan melihatnya sebagai pelaburan masa depan negara.

“Pendidikan yang sempurna berupaya mengubah masa depan seseorang dan ini banyak mendorong Yayasan Eco World untuk berperanan aktif dalam meningkatkan persekitaran pembelajaran,” katanya.

Berita Harian X