Selasa, 1 Oktober 2019 | 5:06pm
MENTERI Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu pada majlis Sekalung Budi Media Pertahanan di Hotel Istana. NSTP/Saifullizan Tamadi.

PH bimbang pengundi luar tak pulang mengundi

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) berpendapat faktor pengundi luar pulang mengundi menjadi faktor penentu kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor, 16 November ini.

Presidennya, Mohamad Sabu, berkata jika kurang pengundi luar pulang mengundi, ia boleh memberi kesan kepada calon Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, lazimnya ketika PRK, majoriti pengundi luar kurang berminat untuk pulang mengundi kerana apa juga keputusan, ia tidak akan mengubah kerajaan yang memerintah.

“Selalunya dalam PRK, kita susah untuk capai kemenangan terutama sekali apabila pengundi luar, contohnya yang bekerja di Singapura atau Australia, mereka kurang berminat untuk pulang mengundi.

“Ia disebabkan tanggapan mereka dalam PRK tidak berlaku pertukaran kerajaan, namun jika pilihan raya umum, mereka ini sanggup berbelanja ribuan ringgit untuk pulang mengundi.

“Seperti PRK Parlimen Teluk Intan sebelum ini, kawasan kubu kuat DAP tetapi kita kalah sebab ramai yang tidak pulang, maka Tanjung Piai nanti saya lihat agak sukar untuk kita capai kemenangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Sekalung Budi Media Pertahanan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali serta pengarang kanan media termasuk Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid.

Hari ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan PRK Parlimen Tanjung Piai, akan diadakan pada 16 November.

Beliau dilaporkan berkata, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 2 November manakala pengundian awal akan diadakan pada 12 November.

PRK Tanjung Piai perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafiq, 42, pada 21 September lalu berikutan komplikasi jantung.

Berita Harian X